BELANJAWAN 2025 > BERITA

RT Progresif Kampung Gadek Manfaat Peruntukan RM35,000 Mulakan Ternakan Ayam Saga

12/10/2025 07:45 PM

ALOR GAJAH, 12 Okt (Bernama) -- Rukun Tetangga (RT) Progresif Kampung Gadek mengambil langkah berani memulakan projek penternakan ayam saga pada November tahun lepas, menggunakan modal RM35,000 di bawah peruntukan disalurkan Kementerian Perpaduan Negara.

Setiausaha RT Progresif Kampung Gadek Suhaiti Ariffin berkata peruntukan itu melibatkan pembinaan reban, pembelian anak ayam, peralatan penternakan dan dedak yang diusahakan dalam kawasan Agrofarm Sahabat Gadek di sini.

Beliau yang juga Pengurus Agrofarm Sahabat Gadek berkata projek itu bermula dengan 300 ekor anak ayam saga, kini memasuki fasa ketiga pada September lepas dan mendapat permintaan tinggi khususnya pada musim perayaan.

“Berbeza daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang kebanyakan mengusahakan aktiviti pertanian, kami memilih menternak ayam saga yang dibangunkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama Agrofarm Sahabat Gadek yang merupakan parent stock dilantik MARDI untuk membiakkan ayam berkenaan.

“Walaupun industri penternakan banyak risiko, kami nekad dan memilih ayam saga kerana mempunyai kadar pembesaran lebih cepat berbanding ayam kampung biasa dan mampu mencapai berat lebih baik yang memberi lebih keuntungan,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Suhaiti berkata sehingga kini, RT Progesif Kampung Gadek berjaya menjual lebih 600 ekor ayam saga dalam pelbagai produk antaranya ayam hidup pada harga RM17 sekilogram, ayam salai (RM15 sepaket), ayam sejuk beku (RM23 sekilogram) dan anak ayam, dengan lima peratus hasil jualan disalurkan kepada RT itu.

Ayam saga itu dijual secara terus kepada pembeli khususnya penduduk setempat yang hadir di ladang selain menerusi program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka atau Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

"Selain penternakan ayam saga, RT Progresif Kampung Gadek juga menjalankan aktiviti tanaman seperti terung secara fertigasi dalam usaha meningkatkan ekonomi ahli,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi RT Progresif Kampung Gadek Ismail Abdul Latif berkata penternakan ayam saga dan tanaman terung itu mendapat sokongan, pamantauan dan bantuan pelbagai agensi kerajaan terutama JPNIN Melaka, MARDI, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pertanian.

Beliau berkata projek itu bukan sahaja meningkatkan ekonomi ahli RT tetapi turut memberi pendedahan berkaitan industri perternakan ayam saga yang berpotensi dan mendapat permintaan tinggi, jika diusahakan secara berskala besar.

“Penternakan ayam saga agak berisiko terutamanya ancaman penyakit jika tidak diuruskan dengan betul atau mengikut prosedur ditetapkan. Tetapi setakat ini, Alhamdulillah semua berjalan lancar.

“Kita juga menganjurkan kursus penternakan ayam saga untuk mereka yang ingin belajar selain menjadi rujukan atau model ternakan ayam saga oleh KRT luar dan dalam Melaka,” katanya.

RT Progresif Kampung Gadek antara enam RT Progresif ditubuhkan di Melaka, bertujuan memperkasakan ekonomi masyarakat menerusi tumpuan lapan bidang iaitu ekonomi sara hidup, keselamatan dan ketahanan komuniti, kepimpinan, kesejahteraan komuniti, pembelajaran sepanjang hayat, alam sekitar, warisan budaya dan daya cipta.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan