KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Sebanyak 3,000 keluarga B40 komuniti India di Parlimen Sungai Buloh menerima sumbangan Bakul Kasih Deepavali Vanakam MADANI sempena sambutan Deepavali yang akan disambut pada 20 Okt.
Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R. Ramanan berkata inisiatif itu sebahagian daripada program Vanakam MADANI, hasil kerjasama antara Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi menyantuni rakyat serta memperkukuh ekonomi komuniti setempat.
“Saya berharap bantuan ini serba sedikit dapat membantu komuniti India dengan membawa VELICHAM (cahaya) sempena perayaan Deepavali tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata program tersebut bukan sekadar bantuan kebajikan tetapi juga lambang kasih, perpaduan dan keprihatinan kerajaan terhadap semua lapisan masyarakat menjelang Deepavali.
“Setiap Bakul Kasih ini membawa erti besar, bukan hanya mengisi keperluan dapur, tetapi mengisi hati dengan harapan dan semangat baru. Deepavali adalah tentang cahaya yang lahir daripada keikhlasan,” katanya.
Ramanan berkata Bakul Kasih itu mengandungi pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung muruku, tepung denderam (athirasam), serbuk kari, kacang dhal, minyak bijan, kordial pelbagai perisa dan bahan makanan lain yang sinonim dengan persiapan Deepavali.
Beliau berkata selain pemberian Bakul Kasih sempena Deepavali, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh turut menganjurkan Jualan MADANI Koperasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara dan Paya Jaras dengan diskaun sehingga 50 peratus, antara yang terendah di seluruh negara.
Dalam pada itu, Ramanan menzahirkan penghargaan kepada sukarelawan, agensi kerajaan dan pihak AIM yang bersama-sama menjayakan pengagihan Bakul Kasih Deepavali selaras dengan semangat Ekonomi MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial