BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sivakumar, Safiee Terima Ijazah Kedoktoran Pada Konvokesyen AeU

11/10/2025 07:58 PM

SHAH ALAM, 11 Okt (Bernama) -- Bekas Menteri Sumber Manusia Dr V. Sivakumar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak Dr Safiee Ahmad yang juga Pengerusi Lembaga Pelabuhan Tanjung Manis hari ini menerima ijazah kedoktoran pada Majlis Konvokesyen Asia e University (AeU) ke-14 yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

Kedua-dua pemimpin itu adalah antara 23 graduan yang memperoleh kelayakan menerusi Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu untuk Kelayakan (APEL.Q) iaitu satu inisiatif nasional yang dipelopori AeU untuk mengiktiraf pengalaman profesional secara rasmi sebagai kredit akademik.

Sivakumar, yang berkelulusan Doktor Pentadbiran Perniagaan, menzahirkan terima kasih kepada AeU kerana mengiktiraf kepakaran dan pencapaiannya dalam bidang tersebut sekali gus membolehkan beliau memanfaatkan pengetahuannya untuk penyelidikan akademik.

"Pengajian saya adalah mengenai ekonomi gig, saya mengambil masa empat tahun untuk menyiapkan keseluruhan program dan saya berani berkata di sini bahawa kerjasama dan bantuan diberikan universiti memang cukup baik, menerusi penyelia yang pakar dalam bidang penyelidikan dan metodologi, yang telah memberi bantuan dari semasa ke semasa,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis, di sini hari ini.

Naib Canselor AeU Prof Dr Noor Raihan Ab Hamid berkata sejak dilancarkan pada 2020, laluan APEL.Q telah melahirkan 42 graduan setakat ini, termasuk mereka yang menerima ijazah kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan serta Ijazah Sarjana Komunikasi, Teknologi Maklumat dan program sarjana muda dalam Perniagaan Digital dan Multimedia.

“APEL.Q ini prosesnya berbeza dengan proses konvensional iaitu kena pergi kelas, tugasan dan sebagainya dan kita akan menilai dari segi bukti-bukti pengalaman yang ada, kena ada portfolio yang kita akan nilai, adakah ia memadai dengan program yang dia jalani sama ada ijazah kedoktoran, ijazah sarjana atau ijazah mengikut pengalaman dan bukti-bukti yang ada. 

“Kita juga akan adakan penilaian lapangan dan lawatan untuk kita lihat kebenaran portfolio yang dinyatakan untuk kita buat penilaian dan verifikasi dan setelah itu dia akan diminta untuk buat kajian kes dan selepas itu dia akan terus kepada penyelidikan,” katanya.

AeU hari ini meraikan pencapaian 1,529 graduan, tempatan dan antarabangsa, yang terdiri daripada 1,230 graduan akademik dan 299 daripada AeU’s School of Professional and Executive Education Development (SPEED).

Konvokesyen itu turut menyaksikan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Prof Dr Sayed Mushtaq Hussain, seorang ahli ekonomi pembangunan yang disegani dan bekas pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sebagai mengiktiraf sumbangannya selama puluhan tahun dalam bidang akademik, dasar awam dan pembangunan insan serta komitmen berterusan beliau terhadap pendidikan dan biasiswa.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan