KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 dilihat memperkukuhkan lagi ekosistem digital Malaysia dan mempercepat transformasi ke arah ekonomi berpaksikan digital dan inovasi, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata peruntukan berjumlah RM53 juta untuk Geran Pemecut Digital Malaysia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan penerapan teknologi baharu seperti blockchain, kecerdasan buatan (AI), dan pengkomputeran kuantum.
“Teknologi ini adalah teras kepada pembinaan ekosistem yang bersedia untuk masa depan dan berdaya saing di peringkat global.
“Inisiatif ini akan memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia dan perniagaan tempatan untuk mengguna pakai inovasi dan penyelesaian digital, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh daya saing negara,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Gobind, komitmen berterusan kerajaan terhadap pembangunan AI juga tercermin dalam peruntukan RM18.1 juta untuk Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), yang menekankan peranan pejabat tersebut yang semakin berkembang dalam membentuk strategi dan dasar AI Malaysia, sambil memupuk kerjasama antara kementerian, agensi kerajaan, dan sektor swasta.
Katanya, peruntukan RM30 juta untuk memperkukuh keselamatan siber di negara ini juga amat penting, iaitu satu langkah yang tepat dan strategik, kerana ia memberi tumpuan kepada meningkatkan kepercayaan digital, asas kepada transformasi digital negara.
“Belanjawan ini juga menyediakan RM20 juta untuk terus membangunkan aplikasi mudah alih MyGOV Malaysia, sekali gus menyokong usaha untuk memusatkan dan mendigitalisasi perkhidmatan kerajaan.
“Inisiatif ini akan menjadikan perkhidmatan awam lebih mudah diakses, cekap, dan menjimatkan kos untuk rakyat, memastikan transformasi digital membawa manfaat yang nyata kepada semua rakyat Malaysia,” kata Gobind.
Selain itu, beliau berkata cadangan untuk menubuhkan Awan AI Berdaulat (Sovereign AI Cloud), dengan pelaburan RM2 bilion melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan meletakkan asas bagi infrastruktur AI berdaulat dan selamat di Malaysia.
Belanjawan ini juga memperuntukkan RM5.9 bilion untuk aktiviti-aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan, dan inovasi (R&D&C&I) di seluruh kementerian, yang menunjukkan fokus kerajaan untuk memacu pertumbuhan berasaskan pengetahuan bernilai tinggi dalam era perubahan teknologi yang pesat, katanya.
Gobind berkata kerajaan juga mengumumkan potongan cukai tambahan sebanyak 50 peratus untuk perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) yang menjalankan kursus latihan AI dan keselamatan siber yang diiktiraf oleh Majlis AI Nasional MyMahir untuk Industri (NAICI), TalentCorp, dan MyDIGITAL sebagai langkah penting untuk membina keupayaan digital serta meningkatkan produktiviti perniagaan tempatan
Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM470 bilion, dengan RM419.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan kerajaan.
Belanjawan bertemakan “Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat” itu merupakan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial