KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Program ASEAN Amazing Hunt 2025 anjuran Kelab Kakitangan Bernama (KKB) hari ini menjadi wadah memperkukuh kefahaman masyarakat mengenai ASEAN, selain mengeratkan hubungan antara warga kerja Bernama dan rakan strategik luar.
Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj berkata, bersempena Malaysia menjadi tuan rumah ASEAN tahun ini, Bernama turut diberi tanggungjawab sebagai penyedia pusat media serta agensi penganjur.
“Kita mengambil peluang menganjurkan program seperti ini bagi memperkukuh kefahaman tentang ASEAN, di samping mempererat hubungan antara warga kerja dan pihak luar,” katanya selepas melepaskan peserta program itu di Wisma Bernama, pada 8 pagi tadi.
Turut hadir, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak, Ketua Jabatan Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain serta Ketua Pegawai Pengedaran Takaful Malaysia Yassir Azlin Abdul Ghafar.
Arul Rajoo yang juga Presiden KKB berkata inisiatif sedemikian bukan sahaja menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kerja Bernama, malah memperkukuh jalinan strategik dengan rakan korporat.
Sementara itu, Yassir Azlin berkata penyertaan pihaknya mencerminkan hubungan erat antara industri Takaful dan agensi media, selain memperlihatkan komitmen bersama dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perlindungan Takaful.
“Program ini menjadi simbol kerjasama berterusan kami dengan badan korporat termasuk Bernama. Kami bukan sahaja memastikan penyertaan kakitangan syarikat dalam program ini, malah turut menyediakan perlindungan Takaful kepada semua peserta,” katanya.
Beliau berkata semua peserta turut dilindungi insurans kemalangan selama lapan jam sepanjang program berlangsung.
Seramai 400 peserta menyertai ASEAN Amazing Hunt kali ini, melibatkan 63 pasukan dengan tujuh lokasi utama termasuk Takaful Malaysia, Wangsa Walk dan Kompleks Kraf dijadikan sebagai checkpoint, dan semua pasukan perlu menamatkan cabaran sebelum 2.30 petang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial