BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sukan SEA: Misi Emas Berbasikal Trek Tetap Membara Tanpa Kelibat Shah Firdaus

10/10/2025 07:52 PM

NILAI, 10 Okt (Bernama) -- Pemburuan emas skuad berbasikal trek negara pada Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini tidak terjejas biarpun tanpa kehadiran pelumba utama Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang terpaksa diketepikan selepas menjalani pembedahan kecederaan lutut kanan, baru-baru ini.

Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan Harnizam Basri berkata sandaran utama kini diletakkan kepada adik Muhammad Shah Firdaus, iaitu Muhammad Ridwan selain Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Mohd Akmal Nazimi Jusena bagi menyalakan impian meraih emas keirin lelaki dan pecut berpasukan lelaki.

“Muhammad Shah Firdaus baru sahaja menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta dua minggu lepas dan dijangka menjalani latihan ringan dua minggu lagi.

“Saya berani cakap tiada perubahan sangat (sasaran emas) kerana pasukan kita memang terkenal di peringkat Asia Tenggara,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen (CDM)  Sukan SEA 2025 Nurul Huda Abdullah di Velodrom Nasional Malaysia, di sini hari ini.

Harnizam berkata kecederaan menimpa Muhammad Shah Firdaus sebenarnya terjadi sewaktu terlibat dalam kemalangan pada aksi final keirin lelaki di Sukan Olimpik 2024 di Paris dan masih mengalami kesakitan sewaktu beraksi pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2025 di sini, Februari lepas.

“Kami merasakan kecederaan berkenaan berpunca selepas terjatuh ketika Paris 2024 yang memberi impak kepada lutut kanan. Selepas diagnosis, dapat dikesan ada retak di bahagian rawan lutut,” katanya. 

Impian pelumba berusia 30 tahun itu untuk merangkul pingat Paris 2024 hampir menjadi kenyataan apabila berada di kedudukan ketiga dengan perlumbaan memasuki lebih kurang 25 meter terakhir, namun berkecai selepas dilanggar oleh pelumba Jepun Shinji Nakano yang mengakibatkan Muhammad Shah Firdaus dan pelumba Great Britain Jack Carlin terjatuh.

Walaupun mengalami kecederaan ringan selepas diseret beberapa meter, pelumba yang digelar ‘The Terminator’ itu tetap bangun dan menolak basikalnya ke garisan penamat untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat sebelum disingkirkan ke tempat keenam kerana memasuki laluan Shinji.

Sementara itu, Harnizam berkata skuadnya akan menjalani kem latihan selama sebulan di Chiang Mai bulan depan sebelum turun berkayuh di Velodrom Hua Mark, Bangkok bagi Sukan SEA 2025 nanti.

Memandangkan venue berkenaan tidak berbumbung, beliau berkata pihaknya mengatur sesi latihan di Velodrom Cheras, Kuala Lumpur bagi membantu anak buahnya mengadaptasi suasana pertandingan temasya sukan dwitahunan tersebut.

Sukan SEA Thailand 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini, melibatkan tiga wilayah iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan