KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) secara proaktif menyediakan dana dalaman berjumlah RM500 juta bagi menambah baik kemudahan untuk penjaja serta perumahan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada jumlah tersebut, RM200 juta diperuntukkan bagi membangunkan semula pusat penjaja, pasar dan medan selera yang usang, manakala RM300 juta digunakan bagi penyelenggaraan bangunan, sistem pendawaian serta kemudahan jalan di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Saya sempat turun ke Pantai Dalam baru-baru ini untuk meninjau keadaan perumahan rakyat yang sering berdepan masalah lif. Saya telah mengarahkan DBKL agar memulakan kerja-kerja baik pulih semua lif yang rosak di rumah-rumah rakyat sebelum akhir tahun ini,” katanya.
Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan menyediakan RM60 juta bagi membina gerai baharu dan membaik pulih pasar awam di bawah seliaan semua pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Selain itu, Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menaik taraf 363 premis perniagaan di seluruh negara, melibatkan 7,300 usahawan, dengan peruntukan hampir RM50 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan “Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat” di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Anwar mengumumkan peruntukan dana awal RM5 juta secara geran padanan bagi menggalakkan penyertaan sektor korporat, dermawan dan pakar warisan dalam usaha meremajakan Muzium Negara.
“Sumbangan tunai daripada individu dan syarikat korporat kepada Akaun Amanah Jabatan Muzium Malaysia layak mendapat potongan cukai bersamaan dengan amaun sumbangan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) melabur sebanyak RM600 juta untuk kerja-kerja pemuliharaan Carcosa Seri Negara sementara usaha Warisan KL diperluas kepada kerja pemuliharaan Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Kompleks Dayabumi.
“Hampir empat dekad lalu, kerajaan telah merundingkan pemulangan Carcosa Seri Negara daripada pihak British yakni sebuah bangunan bersejarah yang melambangkan maruah dan kedaulatan bangsa.
"Bangunan Sultan Abdul Samad pula kekal sebagai saksi bersejarah perjuangan Raja-Raja Melayu dan menjadi lokasi penurunan bendera Union Jack,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan Merdeka 118 oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan dilengkapi dengan pembukaan Muzium Tekstil pada tahun hadapan, sebagai usaha mengetengahkan warisan tekstil dunia Melayu serta menyokong pemuliharaan Stadium Merdeka dan Stadium Negara.
“Penghargaan setulusnya kepada Khazanah, PNB, Petronas dan RAC atas komitmen memulihara Kuala Lumpur. Ikhtiar Warisan KL ialah satu garapan berani membugar nadi kota yang tidak sekadar memulihara bangunan lama, tetapi menghidupkan semula jiwa Kuala Lumpur sebagai pentas budaya, pemangkin ekonomi dan medan aspirasi rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial