BELANJAWAN 2025 > BERITA

Belanjawan 2026: Subsidi Pertanian Berjumlah RM2.62 Bilion, Tertinggi Dalam Sejarah

10/10/2025 05:52 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan terus membela nasib pesawah dengan menyediakan subsidi pertanian berjumlah RM2.62 bilion dalam Belanjawan 2026, iaitu suatu jumlah yang tertinggi dalam sejarah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Kewangan itu berkata subsidi berkenaan, disediakan untuk pelbagai subsidi dan bantuan kepada pesawah seperti subsidi harga padi, subsidi tanaman padi, subsidi baja, subsidi benih dan insentif pengeluaran padi.

Bermula tahun ini, Kerajaan MADANI menaikkan kadar insentif pembajakan dan insentif racun masing-masing kepada RM160 dan RM300 sehektar semusim.

“Kerajaan MADANI juga memperkenalkan insentif baharu iaitu Insentif Penuaian PADI, RM50 sehektar semusim bagi menampung penggunaan diesel untuk jentuai.

“Dianggarkan setiap pesawah menerima bantuan kira-kira RM4,300 sehektar ketimbang RM3,790 sehektar bagi setiap musim,” kata Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata bagi memperkukuh industri padi negara, Sistem Pengairan Tersier Fasa 1 bagi Projek Tanaman Padi Lima Musim Dua Tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Kedah dan Perlis telah siap, dengan fasa berikutnya siap secara berperingkat sehingga suku kedua 2030.

Beliau berkata Projek Pemindahan Air Jeniang akan mula dilaksanakan tahun depan dengan kos RM1.28 bilion bagi membina sungai baharu untuk pengairan yang menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dua Tahun.

“Tanah-tanah sawah bermasalah akan dipulihkan, prasarana ditambah baik termasuk mengguna pakai model sawah berteknologi moden dengan dana RM100 juta.

“Bagi meningkatkan hasil tuaian, 6,400 pesawah akan dibekalkan dengan baja foliar untuk nutrien padi dan bahan kesuburan tanah sawah dengan peruntukan RM20 juta,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata sejak 2024, Kerajaan MADANI bekerjasama dengan semua kerajaan negeri untuk memanfaat penggunaan tanah bagi projek pertanian, dengan lebih 360 projek dilaksanakan mencakup projek tanaman, ternakan, perikanan dan automasi pertanian.

“Tahun hadapan, kerjasama akan terus diperhebat dengan peruntukan RM300 juta antaranya bagi menyokong tanaman jagung bijian, ternakan akuakultur serta aktiviti tanaman padi di Sabah dan Sarawak,” kata Anwar.

Bagi usahawan tani, Perdana Menteri berkata Agrobank menyediakan pembiayaan RM1.1 bilion untuk usahawan mengembangkan perniagaan serta menyokong automasi dan mekanisasi dalam projek pertanian.

Program Agropreneur NextGen Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pula akan menyediakan geran permulaan dan geran pengembangan projek pertanian dengan dana RM20 juta.

“Kerajaan bercadang, syarikat menjalankan projek baharu pengeluaran bahan makanan diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun.

“Syarikat sedia ada yang membuat projek pembesaran diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh lima tahun. Tempoh permohonan galakan cukai dilanjutkan sehingga 31 Dis 2030,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata bagi nelayan, elaun sara hidup nelayan sehingga RM300 sebulan dan insentif hasil tangkapan diberikan dengan peruntukan RM160 juta, selain kerajaan tetap mengekalkan diesel bersubsidi RM1.65 seliter khusus untuk nelayan.

Beliau berkata RM20 juta disediakan supaya nelayan menaik taraf vesel bagi mengurangkan kebergantungan tekong dan kru asing dan menggantikan pukat tunda Zon B dan pukat kenka dua bot bagi mengurangkan vesel tidak lestari.

“RM55 juta disediakan bagi menyokong pengusaha buah-buahan tempatan, antaranya insentif tanaman dan prasarana ladang nanas termasuk di Sarawak, selain tanaman buah lain durian belanda, jambu air dan limau besar,” kata Anwar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan