BELANJAWAN 2025 > BERITA

Rai Anak Kurang Bernasib Baik Sambil Pupuk Perpaduan Rentas Kaum Diiktiraf ASEAN Records

09/10/2025 10:54 AM
From: Balkish Awang

Mereka datang daripada pelbagai latar belakang, kaum dan agama, namun kesemua itu tidak menghalang anak-anak berusia tujuh hingga 17 tahun tersebut beramah mesra sesama sendiri semasa dihimpunkan di bawah satu bumbung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, dekat sini bulan lepas.

Gelak tawa dan raut wajah ceria mereka menyambut ketibaan tetamu yang diundang bagi turut sama meraikan anak-anak berkenaan yang datang daripada 24 buah rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang, mencerminkan realiti sebenar Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa dengan rakyatnya yang pemurah.

Seramai 677 kanak-kanak kurang bernasib baik diraikan oleh sebuah peruncit menerusi program Jamuan Makan Terbesar Eco-Shop bersama Che Sayang yang mengangkat tema “Satu Senyuman, Seribu Makna”, dan penulis antara tetamu yang dijemput memeriahkan suasana.

 

PELUANG LIHAT DUNIA LUAR

 

Keceriaan jelas terpancar di wajah kanak-kanak yang menghadiri program jamuan itu dengan kebanyakan yang ditemui Bernama menyatakan amat jarang mereka berpeluang keluar dan diraikan sedemikian rupa. Apatah lagi melibatkan acara sebesar itu.

“Rasa seronok sangat hari ini. Selalunya aktiviti dan program diadakan di rumah tempat kami tinggal, tetapi hari ini cikgu bawa saya dan kawan-kawan datang ke sini. Sangat berbeza rasanya (dapat keluar),” kata Muhammad Annemen Search.

pic-4

Berusia 13 tahun, anak ini tinggal di Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras, Selangor lantaran kesempitan hidup ibu bapanya yang mempunyai sembilan orang anak dan dia anak kelima.

Ujarnya, paling seronok dia dapat bertemu kawan baharu daripada rumah kebajikan lain.

Nada sama dilontarkan S. Kugeneswary,11, daripada Persatuan Rumah Kanak-Kanak Ini Di Sayangi di Klang yang menzahirkan kesyukuran kerana dapat berjumpa rakan baharu pelbagai bangsa yang senasib dengannya.

"Hari ini saya dapat ramai kawan baharu selain dapat bermain pelbagai aktiviti dan permainan yang disediakan. Pada saya, majlis seperti ini dapat mengeratkan hubungan sesama rakan berbeza kaum daripada pelbagai rumah kebajikan dan dapat dilihat semua orang kelihatan ceria," katanya yang tinggal di rumah kebajikan itu sejak berusia sembilan tahun.

Berharap dapat menghadiri lebih banyak program sedemikian pada masa akan datang, anak ini berkata dia juga seronok kerana dapat mencipta kenangan manis yang akan diingatinya sampai bila-bila. 

Muhammad Firas Qayyum, 12, yang tinggal di Progam Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Setapak di sini pula berkata semangatnya berkobar-kobar untuk menghadiri program itu.

“Saya bangun pukul 6 pagi sebab tidak sabar untuk datang. Mak bagi izin sebab datang dengan rakan-rakan dari PPR kami. Seronok dapat bermain macam-macam aktiviti,” katanya.

Sementara itu, seorang penjaga di Rumah Kasih Harmoni, Nur Khairunnisa Abdullah, 24, menyifatkan program sedemikian sebagai wadah terbaik untuk mengukuhkan ikatan hubungan sesama insan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Kita boleh lihat program seperti ini bukan sahaja memupuk perpaduan malah memberi peluang kepada anak-anak yatim serta mereka yang kurang bernasib baik untuk menjalin persahabatan merentasi budaya dan kaum," katanya.

 

MENYENTUH HATI

 

Bagi pempengaruh terkenal Che Sayang atau nama sebenarnya  Abdul Qayyum Halid yang juga duta peruncit Eco-Shop, peluang  mendekati anak-anak daripada golongan tidak bernasib baik memberi satu pengalaman berharga kepadanya.

Ujarnya, seseorang pempengaruh memainkan peranan besar dalam menyebarkan perkara dan perbuatan ke arah kebaikan selain memiliki tanggungjawab terhadap masyarakat terutama kelompok yang memerlukan.

pic-2

“Golongan yang memerlukan perlu diberi perhatian bukan hanya merangkumi makan minum serta tempat tinggal tetapi juga pelajaran. Sebagai seorang pempengaruh, saya rasa sudah menjadi tanggungjawab untuk menyebarkan perkara yang baik. Lagi-lagi apabila ramai yang menjadikan kita sebagai ‘role model’ atau idola. 

"Semakin ramai pempengaruh menyertai dan menguar-uarkan aktiviti sebegini semakin ramai rakyat Malaysia akan tahu kepentingan dan manfaat aktiviti dalam usaha menyantuni mereka yang amat memerlukan," katanya yang popular menerusi perkongsian “2 Minit 1 Resipi bersama Che Sayang”, menghimpunkan pelbagai jenis resipi masakan.

Berkongsi momen paling menyentuh hati ketika berpeluang menyantuni kanak-kanak di rumah kebajikan, Abdul Qayyum berkata biarpun golongan anak-anak itu datang daripada pelbagai latar belakang kehidupan dan kesulitan,  mereka tidak mempunyai masalah untuk tinggal sebumbung dan hidup berdikari.

"Ada seorang pelajar daripada Sekolah Tunas Bakti yang saya temui memberitahu dia mahu melanjutkan pelajaran di universiti. Terpancar rasa bangga cikgu-cikgu yang mendidik pelajar tersebut. Ada juga pelajar sekolah sama yang muncul naib juara pertandingan sukan tinju di peringkat kebangsaan. 

"Saya menasihatkan adik-adik ini supaya belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai impian yang diidamkan. Bagi saya, pencapaian seperti ini menyuntik semangat yang menakjubkan hasil daripada didikan guru-guru di pusat jagaan," katanya. 

 Abdul Qayyum berkata beliau juga suka dengan konsep yang diperkenalkan oleh Eco-Shop dalam meraikan anak-anak kurang bernasib dengan sokongan masyarakat, sambil pada masa sama mencipta rekod ASEAN. 

"Kempen ini menyemarakkan perpaduan dan menggalakkan pelbagai pihak untuk menyumbang. Di pihak saya, saya dapat menyumbang dari segi idea dan pengaruh di sosial media, pihak Eco-Shop dari segi sumbangan barangan mampu milik, dan mungkin daripada pihak lain pelbagai jenis sumbangan. Usaha-usaha kecil begini akan menjadi contoh baik kepada pihak lain di luar sana," katanya.

 

REKOD ASEAN

 

Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Eco-Shop Marketing Berhad Jessica Ng berkata kempen Satu Senyuman, Seribu Makna itu  membawa mesej kekuatan dan semangat insan-insan istimewa yang diraikan.

Katanya majlis dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Budimas itu bukan sekadar mencipta satu rekod tetapi membawa semangat rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan hidup dalam suasana penuh harmoni.

“Satu Senyuman, Seribu Makna menyampaikan mesej bahawa setiap perbuatan walaupun kecil tetap mampu membawa makna yang mendalam dan menyentuh hati. Sama ada dalam berkongsi juadah, melawat rumah kebajikan atau menghias bilik darjah, detik-detik ini mungkin kelihatan sederhana tetapi apabila digabungkan ia mencipta sesuatu yang cukup bermakna," katanya.

pic-3

Tambahnya, majlis itu merupakan cara syarikat berkenaan menyambut hari kemerdekaan dengan bukan hanya mengibarkan bendera malah memupuk hubungan lebih erat sesama insan.

"Kempen ini bukan tentang seberapa besar acara yang boleh dianjurkan tetapi sejauh mana ia menyentuh hati komuniti. Dari senyuman kanak-kanak hingga rasa kebersamaan masyarakat, kami percaya impak bermakna bermula dengan niat yang ikhlas. Itulah inti pati sebenar kempen ini.” katanya.

Beliau berkata bagi memberi inspirasi kepada kanak-kanak kurang bernasib baik, Eco-Shop bersama Che Sayang turut mengunjungi beberapa rumah kebajikan, berkongsi makanan, gelak tawa dan momen berharga bersempena dengan sambutan Hari Malaysia yang dirai pada 16 Sept lalu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan program seumpamanya di masa akan datang.

Program itu mendapat pengiktirafan daripada ASEAN Records atas kejayaan syarikat Eco-Shop Malaysia menjayakan Karnival Amal Tanggungjawab Sosial Korporat terbesar yang mengagihkan makanan dan alat tulis kepada komuniti kurang bernasib baik.

 ASEAN Records merupakan sebuah badan pengiktirafan serantau yang berorientasikan pencapaian luar biasa dalam pelbagai bidang termasuk perniagaan, inovasi, budaya dan tanggungjawab sosial.

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan