BELANJAWAN 2025 > BERITA

KKM Adakan Libat Urus Pastikan Tadbir Urus Klinikal Terpelihara - KP Kesihatan

07/10/2025 02:52 PM

PUTRAJAYA, 7 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau perkembangan semasa secara dekat dan mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan termasuk penyedia perkhidmatan kesihatan, syarikat insurans dan badan profesional bagi memastikan tadbir urus klinikal terus terpelihara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab, berkata KKM memandang serius sebarang amalan yang boleh menjejaskan kebebasan klinikal atau keselamatan pesakit dalam sektor jagaan kesihatan swasta.

“Walaupun kecekapan kos merupakan pertimbangan penting dalam pembiayaan kesihatan, ia sama sekali tidak boleh mengatasi pertimbangan profesional pengamal perubatan berdaftar atau hak pesakit untuk menerima rawatan berdasarkan maklumat lengkap serta persetujuan mereka.

“Keputusan berkaitan pembiusan, kaedah rawatan dan kemasukan ke wad mesti sentiasa dibuat berasaskan keperluan klinikal dan standard etika, bukannya arahan pentadbiran atau kawalan kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tanpa merujuk kepada mana-mana kes tertentu, Dr Mahathar mengingatkan semua pihak berkepentingan bahawa Seksyen 82 dan 83 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] menetapkan prinsip dan perlindungan undang-undang yang jelas bagi memastikan pertimbangan klinikal bebas daripada pengaruh luar. 

Beliau menegaskan bahawa sebarang urusan yang menjejaskan autoriti pengamal perubatan dalam pengurusan pesakit atau menekan mereka supaya bertindak bertentangan dengan etika profesional bukan sahaja tidak boleh diterima, malah boleh dianggap bertentangan dengan peruntukan undang-undang.

“Meletakkan syarat kelulusan surat jaminan, apa-apa bentuk urusan, arahan atau kontrak yang menetapkan pembayaran balik (reimbursement) berdasarkan pilihan klinikal yang telah ditentukan adalah pelanggaran kepada prinsip berkenaan,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak agar menghormati sempadan profesional serta meletakkan kebajikan pesakit mengatasi kepentingan pentadbiran atau kewangan dan komitmen itu adalah sejajar dengan nilai MADANI iaitu kesejahteraan, hormat dan ihsan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan