KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Bulan Sabit Merah Malaysia (BSSM) menggesa semua pemimpin Palang Merah dan Bulan Sabit Merah bekerjasama menunjukkan solidariti bagi mempengaruhi pembuat keputusan untuk melaksanakan gencatan senjata, menggerakkan dana dan menyokong bantuan kemanusiaan di Gaza.
Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz berkata petugas kemanusiaan menjadi sasaran dan dibunuh di Gaza dan hal itu mesti dihentikan dan diketengahkan kepada masyarakat antarabangsa.
“Ketika kita meraikan pencapaian bersama kita sebagai rangkaian kemanusiaan Asia Tenggara, saya rasa adalah penting untuk mengingati mereka yang paling memerlukan bantuan. Saya memikirkan terutamanya saudara kita di Gaza, yang mengharungi penderitaan sangat mengerikan.
"Petugas kemanusiaan menjadi sasaran dan dibunuh dan ini adalah sesuatu yang sangat perlu kita hentikan dan ketengahkan. Kita mesti melakukan segala-galanya untuk mengurangkan dan menamatkan penderitaan teruk di sana. Marilah kita meneruskan semangat perpaduan dan kasih sayang. Semoga lautan yang menyatukan kita kekal sebagai simbol perhubungan, mengikat kita dalam mencurah bakti kepada manusia," katanya.
Tunku Puteri Intan Safinaz berkata demikian dalam ucapannya pada majlis makan malam penutup Mesyuarat Pemimpin Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Asia Tenggara ke-22 dan pelancaran Buku Mewah Ulang Tahun ke-75 BSMM.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Mengulas mengenai mesyuarat tiga hari itu bertemakan “The Seas that Unite Us”, Tunku Puteri Intan Safinaz berkata ia mencerminkan cabaran dihadapi rantau ini termasuk kesediaan bencana, perubahan iklim, krisis kesihatan dan pemindahan atau pengusiran sambil mengetengahkan kepentingan kerjasama rentas sempadan dalam tindakan kemanusiaan.
Terdahulu, Dr Wan Azizah melancarkan Buku Mewah Ulang Tahun ke-75 BSSM (Malaysian Red Crescent 75th Anniversary Coffee Table Book) sempena ulang tahun organisasi itu. Orang awam boleh mendapatkan buku tersebut dengan menyumbang RM250 yang akan disalurkan untuk kerja-kerja kemanusiaan.
Majlis itu dianjurkan dengan sokongan dermawan dan rakan kongsi termasuk Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Menurut kenyataan BSMM, acara itu bertujuan mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan, rakan kongsi korporat, penderma dan pihak berkepentingan antarabangsa di samping memperdalam solidariti serantau dalam kalangan Bulan Sabit Merah Palang Merah Asia Tenggara serta Persatuan Kebangsaan.
“Acara itu juga meningkatkan pengiktirafan terhadap legasi kemanusiaan 75 tahun BSMM dan menggalakkan penglibatan awam yang lebih besar, terutamanya memberi inspirasi kepada belia dan masyarakat untuk menyumbang kepada misi kemanusiaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial