GEORGE TOWN, 1 Ogos (Bernama) -- Keputusan Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar tarif import Malaysia kepada 19 peratus daripada 25 peratus disifatkan sebagai perkembangan positif kepada sektor eksport negara, khususnya Pulau Pinang yang terlibat dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), pembuatan serta peranti perubatan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata keputusan itu juga meletakkan Malaysia setanding dengan negara-negara ASEAN lain, sekali gus mewujudkan "padang permainan yang sama rata" dalam hubungan perdagangan serantau.
"Langkah itu merupakan perkembangan positif yang memberi sedikit kelegaan kepada sektor eksport negara khususnya di Pulau Pinang, dan ia satu rahmat kadar itu (tarif) diturunkan dan kini setanding dengan negara-negara ASEAN yang lain.
''Maka perkembangan itu telah meletakkan kebanyakan negara ASEAN pada landasan yang sama dari segi hubungan perdagangan serantau ASEAN dan satu langkah ke arah meningkatkan daya saing perdagangan Malaysia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Pulau Pinang di sini, yang turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Law Choo Kiang merangkap Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Chow mengulas laporan media hari ini berhubung penurunan tarif AS kepada 19 peratus ke atas import Malaysia, berkuat kuasa 1 Ogos, 2025.
Pada 7 Julai, Washington mengumumkan AS akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua produk Malaysia yang dihantar ke negara itu, berasingan daripada semua tarif sektor, berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini, dan angka itu merupakan satu peratus lebih tinggi berbanding dengan tarif yang telah diumumkan pada April.
Mengulas lanjut, Chow bagaimanapun berkata perkembangan itu hanya permulaan kerana negara masih berdepan dengan persaingan sengit daripada rakan serantau yang menikmati kadar tarif lebih rendah atau sifar melalui perjanjian perdagangan lain.
''Kita masih menunggu butiran lanjut daripada United States Trade Representative (USTR) serta Kerajaan Persekutuan berhubung sektor-sektor lain yang mungkin terkesan atau mendapat manfaat (daripada penurunan tarif),'' katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri juga berharap agar kerajaan Persekutuan terus mengadakan rundingan untuk mendapatkan konsesi tarif yang lebih besar dalam sektor-sektor strategik, demi memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam rantaian bekalan global dan mampu menarik pelaburan bernilai tinggi.
Chow berkata langkah itu penting untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam rantaian bekalan global selain mampu menarik pelaburan bernilai tinggi ke negeri ini dan negara secara keseluruhan.
"Kerajaan negeri kekal komited untuk menyokong industri tempatan dan para pengeksport dalam menyesuaikan diri dengan landskap perdagangan global yang sentiasa berubah," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Chow berkata hasrat Presiden AS Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN akan datang adalah isyarat positif bahawa cabaran-cabaran perdagangan antara kedua-dua pihak masih boleh ditangani melalui rundingan dan persefahaman.
''Penurunan tarif ini membuahkan hasil melebihi jangkaan, dan ia memberi harapan baharu kepada masa depan perdagangan Malaysia di peringkat antarabangsa,'' katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial