KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kerajaan menetapkan empat strategi utama menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan tumpuan khusus kepada pemerkasaan integriti dan akauntabiliti penjawat awam dalam usaha membentuk sektor awam lebih dinamik, progresif serta pragmatik.
Menurut dokumen RMK13 dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, mekanisme pemantauan dan penilaian prestasi semua kementerian akan ditambah baik dengan memperkenal petunjuk keberhasilan kerja khusus yang dijajarkan kepada prestasi indikator ekonomi makro terpilih.
“Bagi menyokong usaha ini, mekanisme untuk membolehkan pelaporan prestasi kementerian terus kepada Perdana Menteri akan dibangunkan manakala satu papan pemuka prestasi keberhasilan nasional yang boleh diakses oleh rakyat akan diperkenal,” menurut dokumen itu.
Selain integriti dan akauntabiliti, tiga lagi strategi utama kerajaan ialah mereformasi perundangan dan institusi; mempercepat rasionalisasi fungsi dan peranan kementerian serta agensi dan memperkukuh pembangunan sumber manusia sektor awam.
Bagi strategi kedua, dokumen itu menjelaskan bahawa reformasi perundangan dan institusi termasuk usaha mempercepat pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Usaha bagi menyeragamkan beberapa perundangan dan peraturan akan dilaksanakan bagi menambah baik sistem penyampaian kerajaan pada semua peringkat. Tumpuan akan diberikan kepada semakan semula perundangan untuk memastikan keharmonian bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.
“Kajian juga akan dijalankan bagi menilai keperluan penggubalan akta saraan Hakim Syarie serta penubuhan suruhanjaya khas pelantikan kehakiman syariah untuk menaikkan martabat dan kebebasan kehakiman Syariah,” menurut dokumen itu.
Selain itu, pelaksanaan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) akan diperluas ke Sabah dan Sarawak bagi menyeragamkan perancangan spatial negara termasuk pembangunan fizikal, sosial, ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
Strategi ketiga pula melibatkan rasionalisasi fungsi kementerian dan agensi kerajaan bagi mengurangkan pertindihan serta pembaziran sumber termasuk peluasan pelaksanaan konsolidasi pejabat perwakilan dan wakil agensi kerajaan Malaysia di luar negara.
“Rasionalisasi jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat milik kerajaan akan dilaksana secara berfasa. Peranan dan tanggungjawab penjawat awam juga akan ditambah baik melalui penstrukturan semula fungsi tugas dan prosedur kerja selari dengan perkembangan teknologi,” katanya.
Kerajaan turut menambah baik pengurusan fasiliti Kerajaan Persekutuan seperti kuarters dan institut latihan awam bagi penggunaan lebih optimum.
Bagi strategi keempat, penekanan akan diberi kepada pembangunan sumber manusia sektor awam ke arah melahirkan penjawat awam yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Tumpuan diberikan kepada peningkatan kemahiran, latihan semula, pembangunan kepimpinan dan profesionalisme. Laluan kerjaya yang fleksibel serta pengurusan bakat akan dipertingkat, termasuk peluasan gred jawatan fleksibel dan opsyen pertukaran skim perkhidmatan,” menurut dokumen itu.
Dasar berkaitan faedah persaraan dan keistimewaan Anggota Pentadbiran serta penjawat awam akan disemak semula melalui penubuhan Suruhanjaya Khas Diraja bagi menilai keperluan beralih daripada skim saraan berpencen kepada skim berasaskan caruman, demi meningkatkan kemampanan fiskal jangka panjang.
Pada masa sama, perkhidmatan psikologi dan kaunseling akan diperluas melalui pusat Transformasi Bandar (UTC), di samping pengenalan dasar kesihatan mental sektor awam dan Indeks Kebahagiaan Penjawat Awam.
Dokumen itu turut menjelaskan bahawa pendigitalan perkhidmatan dan proses kerja juga akan diperkukuh melalui pembangunan Enterprise Architecture (EA), infrastruktur awam yang selamat dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara menyeluruh.
“Inisiatif ini bertujuan mempercepat integrasi perkhidmatan digital, mengurangkan pertindihan sistem dan meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.
Dalam tempoh RMK12, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028 (NACS) dan penubuhan Pasukan Petugas Khas CPI pada Oktober 2024.
“Bagi tempoh 2024 hingga 2025, lebih 80 rang undang-undang termasuk pindaan kepada akta sedia ada telah diluluskan antaranya Akta Syarikat 2016 (Akta 777), Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 (Akta 743) dan Akta Audit 1957 (Akta 62), yang menekankan aspek integriti, akauntabiliti dan ketelusan,” menurut dokumen itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial