BELANJAWAN 2025 > BERITA

KKR Perlu Pastikan Pelaksanaan MLFF Tidak Beri Implikasi Kewangan Kepada K'jaan, Pengguna - PAC

31/07/2025 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berpandangan Kementerian Kerja Raya (KKR) perlu memastikan tiada implikasi kewangan kepada kerajaan dan pengguna dalam cadangan hala tuju pelaksanaan Sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) yang akan dimuktamadkan kelak.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata langkah itu bagi mengelak isu seperti yang pernah dibangkitkan dalam Prosiding PAC sebelum ini yang dikatakan tidak mempunyai implikasi kewangan, namun akhirnya kerajaan masih perlu membayar kepada pihak syarikat.

Beliau berkata PAC turut berpandangan setiap keputusan mengenai pelaksanaan sistem MLFF atau apa jua sistem yang diperkenalkan selepas ini mestilah memberi manfaat serta meningkatkan keberkesanan dalam mengatasi kesesakan trafik.

“PAC memohon KKR untuk memaklumkan perkembangan berhubung hala tuju pelaksanaan sistem MLFF sebagai rujukan dan perhatian PAC secara bertulis.

“Selain itu, PAC menggesa agar keberkesanan dan kecekapan kutipan tol sedia ada ditingkatkan sebagai langkah segera untuk mengurangkan kesesakan lebuh raya sebelum MLFF dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mas Ermieyati berkata perkara itu antara perkara yang disyorkan dalam Penyata PAC Terhadap Tindakan Susulan KKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Bagi Syor-Syor PAC Parlimen Berhubung Pengurusan Pelaksanaan Projek MLFF yang dibentangkan semalam.

Selain penyata berkaitan isu projek MLFF, turut dibentangkan Penyata PAC Terhadap Tindakan Susulan Kementerian Kewangan (MOF) Dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) Bagi Syor-Syor Penyata PAC Parlimen Berhubung Pengurusan Akaun Belum Terima LHDN.

Bagi isu melibatkan LHDN, Mas Ermieyati berkata PAC menyarankan supaya lembaga itu terus mempergiat tindakan penguatkuasaan undang-undang sedia ada, selain membuatpenambahbaikan dari semasa ke semasa.

PAC juga katanya menyarankan LHDN mempergiat usaha dalam mengurangkan risiko peningkatan Akaun Belum Terima dan rayuan oleh pembayar cukai.

Beliau berkata LHDN hendaklah melaksanakan pemantauan yang berterusan bagi memastikan keberkesanan proses pentaksiran cukai secara keseluruhan serta lebih proaktif menguatkuasakan undang-undang bagi membendung ketirisan dan penipuan dalam pembayaran cukai.

"Berhubung pelaksanaan e-invois, PAC mengalu-alukan inisiatif kerajaan seperti yang diumumkan pada 5 Jun 2025 yang mengambil kira komitmen pembayar cukai terutamanya peniaga dari kategori Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam mematuhi keperluan perundangan e-Invois yang memerlukan tempoh persediaan secukupnya

"PAC menyarankan pihak LHDN memberikan sokongan dan panduan yang menyeluruh kepada semua pembayar cukai sepanjang tempoh persediaan pelaksanaan e-Invois,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan