BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pembentangan RMK13 Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

31/07/2025 08:35 AM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini terarah kepada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, satu hala tuju yang bakal memacu rancangan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan RMK13 pada 12 tengah hari, sebaik selesai sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dan sesi soal jawab lisan yang bermula pada 10 pagi.

Selepas pembentangan RMK13, persidangan Dewan Rakyat akan ditangguhkan sebelum sesi perbahasan RMK13 dijangka mengambil masa lapan hari mulai Isnin depan, diikuti dengan jawapan daripada menteri-menteri selama empat hari bermula 18 Ogos.

Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook semalam berkata RMK13 bertemakan “Melakar Semula Pembangunan”, disusun sebagai pelan pembangunan menyeluruh dengan fokus untuk mengangkat martabat secara adil dan saksama tanpa ada mana-mana kumpulan yang dipinggirkan.

Beliau berkata penyediaannya melibatkan sesi libat urus meluas bersama pelbagai pihak berkepentingan merentasi sektor, latar belakang dan wilayah, termasuk kerajaan negeri, demi memastikan suara rakyat benar-benar diangkat dalam perancangan masa depan negara.

Sementara itu, isu berkaitan perlindungan hak dan kemajuan komuniti Orang Asli di negara ini serta proses pendaftaran bagi penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA), antara perkara yang akan dikupas pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) akan bertanyakan kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah jika kerajaan bercadang meminda Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang sedang berkuat kuasa ketika ini, bagi memastikan perlindungan hak dan kemajuan komuniti Orang Asli terus terjamin.

Pada sesi sama Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) meminta Menteri Kewangan menyatakan bagaimana proses pendaftaran dan apakah cara untuk melayakkan seseorang individu menerima dan berbelanja RM100 di bawah inisiatif SARA untuk semua.

Dalam pada itu Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) pula mahu Menteri Pendidikan menjelaskan setakat mana peratusan siswa lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) mendapat penempatan yang dipohon, serta kriteria yang diambil kira dalam proses penempatan mereka.

Pada sesi soal jawab lisan pula, Yuneswaran Ramaraj (PH-Segamat) meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan jumlah penerima mengikut negeri dan jenis rumah ibadat mengikut kategori daripada peruntukan RM50 juta yang disediakan untuk bantuan penyelenggaraan serta pembaikan rumah ibadat bukan Islam bagi tahun 2024 dan 2025.

Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) pula bertanyakan kepada Menteri Sumber Manusia mengenai langkah konkrit kerajaan untuk menangani kekurangan kira-kira 10,000 jurutera dan pakar kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan