BELANJAWAN 2025 > BERITA

JBPM Kuala Lumpur Juara National Fire Fighter Drill 2025

30/07/2025 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur muncul juara keseluruhan pertandingan National Fire Fighter Drill 2025 (NFD 2025) yang berlangsung di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Terengganu sejak 25 Julai.

Pengarah JBPM Kuala Lumpur Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Hassan ‘As’ari Omar berkata kontinjen Kuala Lumpur yang diwakili 40 peserta meraih empat pingat emas, empat perak dan empat gangsa bagi 12 acara yang disertai pada pertandingan yang berakhir semalam.

Beliau berkata pingat emas diraih menerusi acara Toughest Bomba Alive Challenge, Duo Technical Rescue Challenge, Fire Ground Challenge dan 100 meter Fire Obstacle Challenge.

“Pingat perak pula diperoleh daripada acara Hose Rampage, Fire Fighters Challenge, Spider Trail dan Fire Ground Challenge manakala pingat gangsa diraih menerusi acara Ultimate Bomba Warrior Challenge, Mighty FireFighter, Water Savior dan 100 meter Fire Obstacle Challenge,” katanya kepada Bernama dalam majlis meraikan peserta pertandingan itu di sini, hari ini.

Hassan ‘As’ari berkata pertandingan itu merupakan platform penting bagi menguji elemen kecekapan, kekuatan fizikal dan mental anggota bomba, yang amat berguna dalam menghadapi situasi kecemasan sebenar.

“Dengan pengalaman yang diperoleh dalam pertandingan ini, mereka akan lebih yakin dan memahami tindakan yang perlu diambil semasa menghadapi situasi kecemasan sebenar,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan