PUTRAJAYA, 30 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) sedia meneliti cadangan untuk menyenaraikan etomidate iaitu sejenis ubat bius intravena di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 susulan wujud laporan bahawa ia sering disalah guna.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan amalan klinikal sedia ada, KKM sentiasa bersedia melaksanakan penelitian atau kajian berdasarkan bukti yang dikemukakan oleh mana-mana pihak.
Ketika ini, etomidate disenaraikan di bawah Akta Racun 1952.
“Cadangan apa pun kita boleh pertimbangkan tetapi pada akhirnya, saya memandang kepada kajian berdasarkan bukti (dalam penelitian sesuatu perkara),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Penilaian Teknologi Kesihatan Kebangsaan 2025 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan (MaHTAS) di sini hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii menggesa kerajaan menyenaraikan etomidate di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952, mengambil kira laporan mengenai kesan maut ubat itu di Singapura.
Beliau berkata etomidate telah disalah guna sebagai bahan rekreasi melalui produk vape, atau rokok elektronik, yang sering dipasarkan sebagai Kpods.
Kpods ialah istilah jalanan atau 'slang' merujuk kepada pod vape yang telah dicampur atau dicemari oleh bahan kimia berbahaya atau dadah sintetik dan tidak mengandungi cecair vape biasa seperti nikotin atau perisa sahaja.
Dzulkefly juga berkata kerajaan ketika ini meneliti cadangan bagi mengharamkan vape di negara ini.
"Saya ambil perhatian tetapi tidak mahu melakukan segalanya dengan terlalu gopoh-gapah, kita ambil penuh serius... perlu melalui penelitian dan pertimbangan kesan perundangan serta kesihatan awam," katanya
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial