BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bantuan Tunai RM100 Galak Perbelanjaan, Beri Manfaat Pada Peniaga Kecil - Perunding

29/07/2025 06:36 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Bantuan tunai RM100 secara sekali beri daripada kerajaan dijangka menghasilkan kesan limpahan yang ketara kepada ekonomi tempatan, terutamanya kepada peniaga-peniaga kecil, pengusaha pasar basah dan peruncit kawasan kejiranan di seluruh negara.

Perunding perniagaan dan kemampanan Amarjeet Singh Sran berkata walaupun jumlahnya mungkin sederhana, namun ia berfungsi sebagai pemberi kelegaan kepada isi rumah dalam kumpulan pendapatan Rendah 40 (B40) dan Pertengahan 40 (M40).

“Lebih penting lagi, ia memberi suntikan mudah tunai yang amat diperlukan kepada syarikat perniagaan di peringkat akar umbi. Kita menjangkakan kira-kira RM2 bilion akan mengalir ke pasaran secara serta-merta.

“Wang itu tidak akan disimpan dalam akaun simpanan... ia akan dibelanjakan dan di situlah ekosistem runcit, terutamanya perniagaan kecil dan mikro akan mendapat manfaat paling besar,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini hari ini.

Amarjeet berkata peniaga kecil, pengusaha gerai makanan, peniaga pasar basah dan kedai runcit dijangka mendapat manfaat secara serta-merta apabila penerima menggunakan bantuan itu untuk membeli barangan keperluan asas dan keperluan harian.

“Dari gerai cendol di Johor hinggalah kepada penjual ikan di Sarawak, bantuan ini memberi kuasa kepada pengguna untuk berbelanja dan perbelanjaan itu menyokong mata pencarian di peringkat akar umbi,” katanya.

Bantuan RM100 itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan yang lebih meluas untuk mengurangkan beban kewangan isi rumah dan menyokong ekonomi tempatan, terutamanya mereka yang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup dan tekanan inflasi.

Digabungkan dengan langkah-langkah seperti harga petrol yang stabil, pembekuan kenaikan tarif elektrik dan penangguhan kenaikan tol, Amarjeet berkata isi rumah berkemungkinan mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna, yang seterusnya menggalakkan perbelanjaan runcit.

“Sebagai contoh, isi rumah B40 yang mempunyai lima anak boleh menerima sehingga RM500 dengan andaian tiga daripada mereka berumur lebih 18 tahun. Jumlah itu apabila dibelanjakan, memberikan nilai sebenar bukan sahaja kepada keluarga berkenaan, malah kepada setiap perniagaan kecil di kawasan sekitar mereka,” jelasnya.

Di kebanyakan kawasan berpendapatan rendah, Amarjeet berkata jumlah itu membolehkan keluarga membeli barang keperluan asas dalam jumlah yang lebih banyak, menambah kepelbagaian dalam hidangan makanan atau membeli barangan keperluan sekolah, yang kesemuanya melibatkan urus niaga di kedai-kedai kecil tempatan.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan dari bawah ke atas untuk menyokong ekonomi bertujuan memastikan perniagaan mikro dan tidak formal yang seringkali terpinggir dalam inisiatif rangsangan yang lebih besar, turut mendapat manfaat daripada dasar awam.

“Setiap RM1 adalah penting. Apabila beribu-ribu isi rumah mempunyai tambahan RM100 untuk dibelanjakan, itu adalah pergerakan... itu adalah momentum.

“Bantuan RM100 mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah pihak, tetapi bagi ekonomi secara keseluruhan, ia menandakan peralihan dalam cara sokongan bersasar, yang memperkasakan pengguna dan perniagaan kecil,” kata Amarjeet.

Beliau juga berkata orang ramai harus melihat bantuan itu bukan sahaja dari sudut nilai individu, tetapi secara keseluruhan, termasuk kesan positifnya ke atas ekonomi.

“Ini bukan sekadar mengenai wang tunai di tangan. Ia tentang mengaktifkan ekonomi domestik di mana yang paling penting, iaitu di kedai-kedai runcit, pasar malam dan gerai-gerai tempatan.

“Pada akhirnya, apabila seseorang memberikan sesuatu, kita mesti terlebih dahulu mengucapkan terima kasih,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan