BELANJAWAN 2025 > BERITA

MRT Corp Sasar Tender Terbuka Segmen Jambatan LRT Pulau Pinang Pada Oktober

29/07/2025 05:48 PM

GEORGE TOWN, 29 Julai (Bernama) -- Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menyasarkan untuk melancarkan tender terbuka bagi cadangan segmen jambatan dalam projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara Line Pulau Pinang pada Oktober ini.  

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Zarif Hashim berkata peringkat reka bentuk telah siap dan syarikat kini menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.

“Reka bentuk jambatan telah dibangunkan bagi memberikan fleksibiliti maksimum kepada industri pelabuhan di Pulau Pinang untuk berkembang, terutamanya mengambil kira kepentingan ekonomi sektor tersebut selain sektor pelancongan.

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang untuk memastikan jambatan rel ini tidak akan menghalang laluan maritim,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Zarif berkata reka bentuk jambatan akan mengambil kira laluan kapal berdasarkan pelabuhan yang amat penting kepada masa depan Pulau Pinang.

Beliau berkata kemungkinan Pelabuhan Pulau Pinang dinaik taraf menjadi pelabuhan kontena sepenuhnya, di North Port dan South Port, perlu diberi pertimbangan.

Katanya cadangan jajaran jambatan akan meliputi antara North Port dan South Port di Butterworth, memerlukan perancangan jangka panjang yang teliti untuk menampung peluasan pelabuhan pada masa depan.

“Jambatan akan dibina pada ketinggian 62 meter dari paras laut, lebih tinggi daripada Jambatan Pulau Pinang yang pertama tetapi masih dalam had yang ditetapkan untuk mengelak gangguan kepada laluan penerbangan.

“Sebagai langkah keselamatan, pagar akan dipasang di sepanjang jambatan, yang turut menyediakan laluan pejalan kaki yang menghubungkan Butterworth ke Komtar di pulau,” katanya.

Mohd Zarif berkata MRT Corp turut melihat keperluan empat laluan LRT meliputi Pulau Pinang dan Seberang Perai untuk menyediakan kesalinghubungan yang menyeluruh dan kecekapan pengangkutan untuk tempoh jangka panjang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan