KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara menerusi Arkib Negara Malaysia (ANM) memperkenalkan inisiatif “Anak Merdeka Malaysia” bagi menyemarakkan semangat patriotik sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini.
Inisiatif itu turut memberi penghormatan kepada rakyat Malaysia yang lahir pada dua tarikh bersejarah negara, iaitu 31 Ogos dan 16 September, sebagai simbol perjuangan, kemerdekaan serta perpaduan nasional.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata usaha itu bukan sekadar meraikan tarikh lahir semata-mata, sebaliknya turut membawa mesej mendalam dalam mengangkat semangat kenegaraan dan jati diri bangsa.
“Melalui “Anak Merdeka Malaysia”, kita bukan sahaja meraikan tarikh lahir mereka, tetapi kita menyatukan suara rakyat dalam satu identiti kebangsaan.
“Inilah wajah sebenar Malaysia MADANI, negara yang menyanjung sejarah, menyemai harapan dan menyatukan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut kementerian berkenaan, pendaftaran kini dibuka kepada semua warganegara Malaysia yang berkongsi tarikh lahir pada detik bersejarah tersebut, tanpa mengira latar belakang, umur atau kaum.
Menurut kenyataan itu, peserta yang berdaftar akan diberi peluang menyertai pelbagai aktiviti sempena sambutan rasmi peringkat kebangsaan, menerima cenderamata kenang-kenangan serta diraikan sebagai antara wira simbolik negara yang mewakili semangat perpaduan rakyat Malaysia.
Kementerian turut menyeru orang ramai agar menyebarkan maklumat inisiatif berkenaan kepada ahli keluarga, rakan dan komuniti setempat supaya lebih ramai dapat diraikan sebagai sebahagian daripada legasi merdeka negara.
“Inilah peluang kita sebagai rakyat untuk memperkukuh semangat patriotisme melalui penyertaan yang inklusif dan bermakna,” menurut kenyataan.
Pendaftaran boleh dibuat dengan mengimbas kod QR pada poster hebahan atau melalui pautan rasmi di: https://forms.gle/Zd3fPnGaJwFgWeHNA.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial