BELANJAWAN 2025 > BERITA

Terbuka China: Strategi Silap Punca Kekalahan Aaron-wooi Yik - Herry

28/07/2025 07:47 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) – Pemilihan strategi yang kurang tepat dikenal pasti sebagai antara punca utama kekalahan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam aksi final Kejohanan Badminton Terbuka China 2025 di Changzhou, semalam.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, pasangan negara akur tewas kepada beregu Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri 15-21, 14-21 dalam kejohanan bertaraf Super 1000 itu.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi berkata kesilapan strategi tersebut ternyata memakan diri anak buahnya dan membuka ruang buat lawan terus memberi tekanan sehingga berada jauh di depan pada peringkat awal set pertama.

“Kita harus akui strategi perlawanan Fajar-Muhammad Shohibul lebih baik. Kita pula tersilap memilih strategi terutama pada set pertama sehingga ketinggalan jauh.

“ Permainan ‘no lifting’ mereka sangat baik, ditambah pula dengan serangan yang berkualiti dan jarang melakukan kesilapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Herry, faktor aliran angin di dalam gelanggang turut mempengaruhi rentak permainan Aaron-Wooi Yik dan menjejaskan momentum persembahan mereka.

Kekalahan itu menyaksikan pasangan juara dunia 2022 itu tewas buat kali keenam berturut-turut dalam final kejohanan bertaraf Super 1000.

Sebelum ini, mereka sekadar meraih status naib juara pada All England 2019 dan 2024, Terbuka Thailand 2020 serta Terbuka China 2023 dan Indonesia 2023.

Fajar-Shohibul membawa pulang hadiah wang tunai USD148,000 (RM625,000), manakala Aaron-Wooi Yik meraih USD70,000 (RM296,000) selaku naib juara.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan