KUALA TERENGGANU, 28 Julai (Bernama) -- Sebanyak 26 pasukan termasuk 14 pasukan antarabangsa dari 11 negara bakal menyertai kejohanan berbasikal Tour Gateh D’Tranung (TGDT) 2025 yang akan berlangsung dari 25 Okt hingga 3 Nov depan.
Exco Sukan Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata jumlah penyertaan bagi edisi keempat ini menunjukkan peningkatan berbanding 23 pasukan dari sembilan negara yang mengambil bahagian tahun lalu.
.Katanya antara negara yang mengesahkan penyertaan ialah Indonesia, Singapura, Hong Kong, China, Filipina, United Kingdom, Jepun, Australia dan Belanda.
“Kejohanan kali ini akan melibatkan 12 pasukan tempatan dan 14 pasukan luar negara yang bakal berentap merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM216,000. Kita menerima banyak permohonan daripada kelab tempatan, namun terpaksa ditolak atas beberapa faktor.
“Fokus kita kali ini adalah memberi lebih ruang kepada penyertaan antarabangsa sebagai langkah memperkasa pelancongan sukan di negeri ini,” katanya pada sidang media TGDT 2025 di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Ahmad Shahrizal Yahaya.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata perlumbaan tahun ini merangkumi lapan peringkat melibatkan jarak keseluruhan sejauh 910.5 kilometer, bermula di Kuala Nerus dan berakhir di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu.
“Lima kategori akan dipertandingkan iaitu Individu Keseluruhan, Raja Pecut, Raja Bukit, Kelab Tempatan Terbaik dan Pelumba Bawah 23 Tahun Terbaik,”katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata elemen budaya dan warisan negeri turut diberi perhatian apabila motif kraftangan kayu tradisional Terengganu diterapkan dalam bahan promosi bercetak seperti jersi dan risalah kejohanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial