LONDON, 28 Julai (Bernama-Anadolu) -- Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) pada Ahad mencapai persetujuan perdagangan, sekali gus menamatkan ketidaktentuan yang berlarutan selama beberapa bulan, kata Presiden AS Donald Trump selepas pertemuan dengan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen di Scotland, lapor Anadolu Ajansi.
“Saya rasa sangat baik kerana kita berjaya capai perjanjian hari ini, daripada terus bermain tarik tali,” kata Trump kepada pemberita bersama von der Leyen selepas rundingan di pusat peranginan golf miliknya di Turnberry, Scotland.
Trump menyifatkan perjanjian itu sebagai “sangat baik” untuk kedua-dua pihak, yang menyaksikan kadar tarif AS ke atas barangan EU ditetapkan pada 15 peratus.
Sebelum ini, Washington mengugut untuk mengenakan tarif 30 peratus.
Menjawab soalan pada Ahad, Trump menegaskan AS tidak akan menurunkan kadar cukai import di bawah 15 peratus.
“Perjanjian ini akan merapatkan hubungan kita... ia boleh dianggap sebagai satu bentuk perkongsian,” katanya.
Trump turut menyifatkan perjanjian itu sebagai “yang terbesar pernah dimeterai”, sambil memaklumkan bahawa AS kini mempertimbangkan perjanjian serupa dengan “tiga atau empat negara lain.”
Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, EU akan melabur sebanyak US$600 bilion di AS, manakala blok itu akan membeli US$750 bilion dalam bentuk tenaga dan peralatan ketenteraan dari AS.
“Tenaga merupakan komponen yang sangat penting,” kata Trump dalam sidang media bersama itu.
Sementara itu, Presiden Suruhanjaya Eropah turut memuji perjanjian itu, menyifatkannya sebagai satu “perjanjian besar.”
“Kita telah capai persetujuan, kita ada perjanjian perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia dan ini sangat signifikan,” katanya, sambil menyifatkan ia “rundingan yang amat sukar.”
“Perjanjian ini akan membawa kestabilan dan kepastian... yang sangat penting untuk perniagaan di kedua-dua belah Atlantik,” katanya.
Von der Leyen turut mengesahkan bahawa kedua-dua pihak bersetuju mengenakan kadar tarif 15 peratus secara menyeluruh.
“Saya sudah jangkakan dari awal bahawa rundingan ini akan mencabar dan ternyata ia memang sukar tetapi kita akhirnya capai keputusan yang baik untuk kedua-dua pihak,” kata beliau.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial