SUBANG JAYA, 28 Julai (Bernama) -- Seramai 10,000 jurutera tempatan dijangka mendapat latihan dalam bidang semikonduktor melalui program latihan oleh syarikat reka bentuk semikonduktor dari United Kingdom, Arm dalam tempoh 10 tahun, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata inisiatif itu menyasarkan sekitar 1,000 peserta setiap tahun, dengan kumpulan pertama seramai 400 jurutera telah mendaftar.
“Jadi, jika kita melaksanakan sebanyak dua atau tiga kumpulan, kita boleh mencapai sasaran itu setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program latihan Arm On-Demand di sini hari ini.
Program itu merupakan kerjasama strategik dengan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) yang bertujuan mempercepatkan hasrat membangunkan cip buatan tempatan dalam tempoh lima hingga 10 tahun, sebagai tindak balas kepada permintaan global yang semakin meningkat untuk kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pusat data.
Kemuncak acara itu ialah majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Arm, ASEM dan 20 universiti di Malaysia yang melambangkan komitmen bersama untuk memajukan pendidikan dan penyelidikan dalam bidang semikonduktor.
Program itu juga menghimpunkan peserta dari lebih 40 universiti dan jurutera yang mewakili lebih 80 syarikat dalam sektor semikonduktor dan teknologi, mencerminkan minat dan komitmen negara yang kukuh terhadap pembangunan bakat dalam reka bentuk cip termaju.
Amirudin berkata latihan berkenaan yang menumpukan kepada reka bentuk litar bersepadu (IC) peringkat awal (front-end IC design) telah bermula awal tahun ini dengan kursus IC Design Bahagian 1 di Puchong dan sejak itu telah meletakkan Malaysia sebagai pemain IC peringkat awal yang terkemuka dan mampan dalam industri semikonduktor.
Setakat ini, Amirudin berkata kerajaan negeri Selangor telah memperuntukkan antara RM5 juta hingga RM10 juta setiap tahun bagi memacu rantaian nilai semikonduktor di peringkat awal.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi telah meningkatkan sokongannya daripada RM60 juta kepada RM100 juta, sekali gus menunjukkan keyakinan di peringkat nasional terhadap inisiatif itu dengan jumlah pelaburan dijangka melebihi RM100 juta dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.
Amirudin juga percaya Program Arm On-Demand akan menukar Selangor dan Malaysia daripada bergantung sepenuhnya kepada pelaburan langsung asing untuk ke arah membangunkan kepimpinan yang akan membentuk syarikat pemula niaga yang kemudiannya boleh menjadi syarikat terkemuka Selangor dan Malaysia untuk melabur dan mengeksport ke negara lain.
“Kita juga mesti membayangkan sebuah ekosistem teknologi di mana kita tidak hanya mengeksport, tetapi juga mewujudkan ruang dan tempat di mana syarikat Malaysia dapat bergerak naik dalam rantaian nilai ekonomi untuk menggunakan dan menjadi pengguna cip-cip ini.”
“Kita mesti bergerak ke arah memiliki harta intelek supaya cip-cip ini bukan hanya dilabel sebagai ‘Dipasang di Selangor’, tetapi ‘Direka di Selangor’, ‘Buatan Malaysia’,” kata Amirudin.
Beliau berkata cita-cita itu akan diperincikan dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang akan dilancarkan tahun depan, sambil beliau menyatakan keyakinan bahawa bidang semikonduktor serta kejuruteraan elektrik dan elektronik akan diberi keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong dan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial