BELANJAWAN 2025 > BERITA

Konflik Sempadan Cetus Krisis Pelarian Dalaman - Kumpulan Pemikir

27/07/2025 02:54 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 27 Julai (Bernama) — Kemboja berdepan kemungkinan tercetusnya krisis kemanusiaan di sempadan utara negara ekoran peningkatan mendadak jumlah pelarian dalaman selepas pertempuran bersenjata dengan Thailand yang tercetus sejak empat hari lalu.

Ribuan penduduk luar bandar di sekurang-kurangnya empat wilayah bersempadan dengan Thailand dilaporkan melarikan diri kerana bimbang dengan ketegangan ketenteraan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Leftenan Jeneral Maly Socheata dipetik agensi berita negara Agence Kampuchea Presse sebagai berkata bahawa lebih 80,000 orang dipindahkan setakat ini akibat konflik berterusan, sementara 130,000 pelajar dari 536 sekolah di 14 daerah di sempadan turut terjejas.

Ketua Pengarah Institut Hubungan Antarabangsa Kemboja Dr Kin Phea berkata ratusan ribu penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka, manakala puluhan ribu pelajar pula tidak dapat meneruskan persekolahan demi menyelamatkan diri daripada ancaman pertempuran.

“Situasi ini berpotensi mencetuskan krisis pelarian dalaman paling buruk di Kemboja dalam tempoh tiga dekad,” katanya kepada Bernama.

Antara wilayah yang paling terjejas ialah Preah Vihear, Oddar Meanchey, Banteay Meanchey dan Pursat — semuanya terletak di utara negara itu dan kini menyaksikan gelombang pemindahan penduduk secara besar-besaran.

Hubungan diplomatik antara Kemboja dan Thailand kini berada pada tahap paling genting, dengan rundingan gencatan senjata masih belum menemui jalan penyelesaian, manakala pertempuran bersenjata terus berlaku di beberapa lokasi sempadan.

Sebagai sebuah negara berasaskan pertanian, hampir 70 peratus daripada 17 juta penduduk Kemboja bergantung kepada sektor pertanian, perhutanan dan perikanan.

 Konflik yang berlarutan ini menambahkan beban hidup rakyat.

Penutupan sempadan, penangguhan persekolahan serta sekatan terhadap pergerakan barangan menjejaskan kehidupan seharian penduduk, malah dijangka meninggalkan kesan trauma yang berpanjangan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) turut memberi amaran bahawa kanak-kanak tidak seharusnya menjadi mangsa kepada keganasan yang semakin memuncak di sepanjang sempadan Kemboja–Thailand.

“Kanak-kanak mesti dilindungi setiap masa, dan keselamatan serta kesejahteraan mereka perlu menjadi keutamaan. 

"Sekolah juga harus kekal sebagai tempat selamat untuk pembelajaran,” kata Pengarah Wilayah UNICEF bagi Asia Timur dan Pasifik yang berpangkalan di Bangkok, June Kunugi dalam satu kenyataan pada 24 Julai — sehari selepas konflik semakin memuncak.

Pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand membabitkan pelbagai kawasan yang belum ditanda secara rasmi sepanjang sempadan darat sejauh 817 kilometer yang dikongsi bersama.

Sengketa itu berakar umbi daripada peta sempadan yang dilukis oleh pentadbiran kolonial Perancis pada tahun 1907.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan