BELANJAWAN 2025 > BERITA

Karnival Kempen Internet Selamat Perkukuh Kesedaran Keselamatan Digital Murid Sekolah Rendah

27/07/2025 01:05 AM

SHAH ALAM, 26 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor hari ini menganjurkan Karnival Kempen Internet Selamat peringkat Negeri Selangor 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 9, di sini.

Menurut kenyataan MCMC, karnival itu sebahagian daripada kempen untuk mendidik generasi muda tentang keselamatan dalam talian serta membentuk jati diri digital yang beretika dan bertanggungjawab seawal usia di sekolah rendah.

"Sebanyak 12 sekolah rendah merangkumi 240 pelajar dan 24 guru dari sekitar Shah Alam telah menyertai karnival itu.

"Selain SK Seksyen 9, sebanyak 11 lagi sekolah rendah yang terlibat dalam karnival itu, iaitu SK Seksyen 6, SK Seksyen 7, SK Seksyen 13, SK Seksyen 17, SK Seksyen 18, SK Seksyen 19, SK Seksyen 20, SK Shah Alam, SK Kota Kemuning, SK Padang Jawa dan SK Bandar Anggerik," menurut kenyataan itu.

Antara aktiviti menarik yang berlangsung termasuk persembahan koir SK Seksyen 9, Dinding Ikrar, pameran mengenai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) serta sesi interaktif bersama pelajar menggunakan Modul Kempen Internet Selamat bagi Tahap 1 dan  2.

Pada masa sama, menurut MCMC suruhanjaya ini terus komited untuk meluaskan pelaksanaan kempen berkenaan ke lebih banyak sekolah rendah dan menengah serta Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara dalam masa terdekat.

"Program sebegini diharap dapat membina ekosistem digital yang selamat, inklusif dan sejahtera untuk generasi masa depan," menurut MCMC.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan