PUTRAJAYA, 26 Julai (Bernama) -- Malaysia sekali lagi menggesa Thailand dan Kemboja agar melakukan kawalan diri secara maksimum, melaksanakan gencatan senjata segera dan tanpa syarat, serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan usaha ke arah keamanan, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia menyatakan kebimbangan serius terhadap peningkatan konflik antara kedua-dua negara yang telah mengakibatkan pertambahan korban di kedua-dua pihak, kemusnahan harta awam dan pemindahan besar-besaran penduduk di kawasan sempadan, katanya dalam dalam kenyataan pada Sabtu. .
Beliau turut menggesa kedua-dua negara agar kembali ke meja rundingan bagi mengembalikan keamanan dan kestabilan berasaskan semangat kekeluargaan ASEAN, perpaduan dan kejiranan yang baik.
“Kami bersedia untuk meneruskan peranan melalui pejabat Pengerusi ASEAN bagi memudah cara rundingan antara dua jiran terdekat ini yang juga anggota ASEAN, bagi menamatkan pertempuran,” katanya.
Ketegangan antara dua negara Asia Tenggara itu mula memuncak sejak 28 Mei, susulan insiden maut di kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Pertikaian Thailand dan Kemboja selama berdekad-dekad berhubung sempadan sepanjang 817 kilometer yang masih belum ditanda sebagai sempadan rasmi, terus menjejaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial