LIMBANG, 26 Julai (Bernama) -- Projek Lebuhraya Pantai Utara Sarawak (NCH) bakal menjadi pemangkin utama keterhubungan dan pembangunan wilayah utara Sarawak, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata projek strategik itu yang melibatkan kawasan Lawas dan Limbang merupakan sebahagian daripada perancangan jaringan jalan raya utama di negeri ini, khususnya dalam usaha menghubungkan kawasan yang kini terpisah oleh wilayah Brunei.
“Dalam mesyuarat di Limbang hari ini, saya duduk semeja bersama pasukan teknikal daripada JKR Sarawak dan Persekutuan, Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) untuk menyelaras pelaksanaan teknikal projek NCH. Ia lambang kerjasama erat kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata NCH akan menyediakan laluan alternatif domestik yang menghubungkan bandar utama seperti Miri, Limbang dan Lawas tanpa perlu melalui sempadan Brunei sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada laluan Miri-Temburong-Limbang yang memerlukan empat pemeriksaan imigresen.
“Projek itu akan mempercepat mobiliti, memudahkan urusan harian rakyat dan membuka akses ekonomi yang lebih luas kepada komuniti luar bandar,” katanya.
Antara komponen utama projek NCH, termasuk pembinaan jalan baharu sepanjang 87.96 kilometer (km), 10.16 km jalan akses, 27 struktur utama termasuk 13 jambatan – dua daripadanya jambatan ikonik di Sungai Limbang dan Kuala Lawas – serta 44 hentian bas, lapan jejantas pejalan kaki dan empat kawasan Rehat & Rawat (RSA).
Lima seksyen projek sedang giat dilaksanakan di bawah Fasa 1 yang dijadual siap pada 2030, merangkumi tiga seksyen di Limbang (44.46 km) dan dua di Lawas (43.5 km).
“Ini bukan sekadar projek pembinaan jalan, tetapi jaringan masa depan untuk ekonomi, pelancongan, logistik dan kesejahteraan rakyat,” kata beliau.
NCH juga akan melengkapi projek Pan Borneo dengan memberi fokus khusus kepada kawasan pesisir pantai utara dan menjadi penghubung penting antara wilayah tengah dan selatan Sarawak, Brunei serta negeri Sabah melalui sempadan Merapok.
“Inilah contoh bagaimana strategi pembangunan wilayah dapat dicapai melalui kesepaduan antara agensi dan kerajaan. Dari Lawas ke Limbang, dari sempadan ke pembangunan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial