KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Perhimpunan yang berlangsung di Dataran Merdeka hari ini berjalan aman tanpa sebarang kekecohan dan kekacauan, dengan kehadiran dianggarkan kira-kira 18,000 peserta.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata pihaknya berterima kasih atas kerjasama baik semua peserta, yang hadir tanpa menimbulkan sebarang masalah sepanjang perhimpunan itu diadakan.
“Segala-galanya berjalan lancar walaupun terdapat satu dua perkara yang mungkin tidak dipersetujui pada peringkat awal, namun ia berjaya diselesaikan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan berakhir petang ini.
Beliau turut menasihatkan pihak penganjur agar pada masa hadapan supaya lebih telus dalam berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa, bagi memudahkan urusan kawalan keselamatan dan logistik.
“Rakyat Malaysia mempunyai hak untuk berhimpun dan berhimpunlah secara aman serta berhemah. Dari sudut keselamatan, itu yang paling penting. Kadang-kadang jika kita tidak benarkan sesuatu acara, itu biasanya berpunca daripada isu keselamatan, kerana tanggungjawab itu terletak di bawah PDRM sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata untuk penugasan hari ini, seramai 3,000 pegawai dan anggota polis digerakkan bagi memastikan keselamatan sepanjang perhimpunan tersebut.
Sementara itu, Mohamed Usof berkata pihaknya akan meneliti kandungan ucapan yang disampaikan beberapa pemimpin sepanjang perhimpunan tersebut, khususnya jika terdapat elemen menyentuh sensitiviti 3R (agama, kaum dan institusi diraja) atau unsur hasutan.
“Hak berhimpun secara aman memang wujud, namun kita juga terikat dengan undang-undang sedia ada. Jika terdapat pelanggaran, tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” kataya.
Mohamed Usof berkata pihaknya juga akan menjalankan mesyuarat pascanilai dalaman untuk menilai aspek yang boleh ditambah baik bagi penganjuran program akan datang.
Beliau berkata sebelum ini, polis menerima lebih 60 laporan yang kebanyakannya dilakukan oleh pihak yang tidak bersetuju dengan penganjuran perhimpunan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial