BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tengku Zafrul, Chong Wei Antara Penerima Darjah Kebesaran Pulau Pinang Tahun Ini

25/07/2025 07:00 PM

GEORGE TOWN, 25 Julai (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mendahului senarai 1,530 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-84 Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib, esok.

Tengku Zafrul menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri, diikuti Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang Tan Sri Dr Mohd Yussof Abdul Latiff dan Pengerusi Eksekutif MMAG Holdings Berhad Datuk Farhash Wafa Salvador.

Sebanyak 17 individu dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang turut membawa gelaran Datuk Seri antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Zulkifli Long, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pengangkutan Datuk M Jana Santhiran, KSU Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei.

Sementara itu, 11 individu dianugerahkan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) dan 118 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN), masing-masing membawa gelaran Datuk.

Antara penerima DMPN ialah Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) USKPN Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman yang juga Bekas Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Datuk Norazmi Mohd Narawi.

Pengerusi Persatuan Melayu Pulau Pinang Datuk Abdul Wahab Hamid, Konsul Brazil di Pulau Pinang Datuk Chin Lye Kheng, Pemegang Amanah Hokkien Kongsi Pulau Pinang Datuk Lawrence Lim Hua Kwang dan Pengarah Urusan Pipesway Furniture Sdn Bhd Datuk M Chandra Kumar turut menerima DMPN.

Antara penerima DSPN ialah Penasihat Undang-undang Negeri Wan Nor Sakina Saad, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Dr Faizal Kamarudin, Ketua Hakim Syarie Negeri Za’im Md Yudin dan Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Kenneth Yoong Ken Chinson St James.

Selain itu, Perunding Pakar Bedah Ortopedik Loh Guan Lye Specialists Centre Dr Goh Eng Tat, Artis Keadilan Sosial K Gunabalan dan Pengurus Besar Kwong Wah Yit Poh Press Bhd Lee Hin Chan juga antara penerima DSPN.

Sebanyak 85 individu menerima Darjah Johan Negeri, Bintang Cemerlang Negeri (43), Pingat Kelakuan Terpuji (222), Pingat Jasa Kebaktian (371), Pingat Jasa Masyarakat (641) dan Pingat Bakti Setia (18).

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Seri Law Choo Kiang merangkap Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri memaklumkan Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang akan diadakan selama empat hari bermula esok, 28, 29 dan 30 Julai ini.

Beliau berkata tahun ini, sebanyak 150 individu akan menerima penganugerahan Darjah Kebesaran manakala 1,380 orang menerima Bintang dan Pingat Kehormatan untuk empat hari berkenaan.

"Ia terdiri daripada anggota perkhidmatan awam negeri dan persekutuan, ahli politik, ahli korporat, anggota pertubuhan bukan kerajaan, usahawan tempatan dan ahli badan sukarela," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, semua istiadat dan majlis rasmi sempena Hari Ulang Tahun ke-84 Ramli yang sepatutnya berlangsung pada 12 Julai lepas, ditangguhkan berikutan bertindih dengan tarikh Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 dan akan dilaksanakan bermula esok hingga 30 Julai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan