KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Sekurang-kurangnya enam individu menjadi mangsa penipuan melibatkan penyalahgunaan gelaran ‘Datuk Seri’, dengan jumlah kerugian dianggarkan hampir setengah juta ringgit, kata Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong.
Beliau berkata satu daripada laporan itu melibatkan seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ‘Ahli Istana Anak Angkat’ untuk meraih kepercayaan mangsa dan menarik pelaburan, termasuk satu kes seorang ‘Datin’ kerugian RM400,000.
“Kami telah membuat semakan dengan pihak Istana dan mendapati tiada gelaran seperti itu. Ia direka sepenuhnya,” katanya pada sidang media di Wisma MCA di sini hari ini.
Chong berkata tiga daripada enam kes itu melibatkan penipuan berkaitan perniagaan manakala selebihnya sekadar pertanyaan termasuk dari luar negara untuk mengesahkan kesahihan individu yang mendakwa memegang gelaran kehormat.
Beliau berkata individu terbabit mengeksploitasi majlis-majlis rasmi dan acara umum dengan meletakkan nama serta gambarnya bersama VIP dan menteri-menteri bagi meningkatkan kredibilitinya.
Sementara itu, Presiden Majlis Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM) Datuk Alvin Tee Guan Pian mengingatkan orang ramai bahawa gelaran Persekutuan hanya dikurniakan kepada mereka yang memberikan sumbangan besar kepada negara.
“Pemegang gelaran palsu sering menggunakan identiti mereka untuk mendapatkan projek perniagaan dan kontrak. Suruhanjaya Sekuriti memandang serius skim pelaburan haram dan pesalah boleh didakwa di mahkamah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Presiden Majlis Datuk Dato’ Malaysia (MDDM) Datuk Samson David Maman menggesa pihak berkaitan agar mempercepatkan cadangan pindaan kepada Akta Anugerah 2017 (Akta 787) bagi membendung penyalahgunaan gelaran kehormat.
“Ia masih dalam proses dalaman tapi kami dimaklumkan terdapat banyak cadangan pindaan ke atas pelbagai akta. Cadangan kami hanya satu daripadanya. Masanya akan tiba apabila kami berada dalam senarai keutamaan,” katanya pada sidang media yang sama.
Beliau berkata pindaan itu akan memberikan kuasa lebih jelas kepada pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap pemegang gelaran palsu.
Kedua-dua MDPM dan MDDM menyeru orang ramai supaya membuat semakan berkenaan sebarang dakwaan pemilikan gelaran kehormat melalui portal Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa di www.istiadat.gov.my atau dengan menghubungi terus pihak MDPM atau MDDM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial