BEIJING, 25 Julai (Bernama-CMG) -- China dan Kesatuan Eropah (EU) perlu merapatkan lagi kerjasama tatkala berdepan situasi antarabangsa yang penuh dengan cabaran dewasa ini.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri China Li Qiang ketika mempengerusikan Sidang Kemuncak China-EU edisi ke-25 bersama Presiden Majlis Eropah Antonio Costa dan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen di Beijing pada Khamis.
Li berkata China bersedia memperluas kerjasama saling menguntungkan dengan EU dalam bidang perdagangan, pelaburan, pembangunan hijau dan teknologi, di samping bersama-sama menjamin kestabilan rantaian bekalan dan perindustrian serta menyelesaikan percanggahan menerusi dialog dan perundingan.
EU diharap berpegang kepada prinsip pasaran dan menyediakan iklim perniagaan yang adil, saksama dan tanpa diskriminasi kepada syarikat China yang melabur di Eropah.
Kedua-dua pihak juga hendaklah memperkasa koordinasi multilateral dan bersama-sama memelihara multilateralisme serta perdagangan bebas.
Sementara itu, Costa dan von der Leyen berkata EU komited mengembangkan perkongsian yang stabil dan berkekalan dengan China.
EU berhasrat memperkasa dialog dan komunikasi dengan China, mempergiat kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan sambil bersama-sama memelihara kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan.
EU juga komited berbanding bahu dengan China untuk merungkai pelbagai cabaran global, menyokong Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) memainkan peranan utama dalam hubungan ekonomi dan perdagangan antarabangsa serta menegakkan multilateralisme.
Selepas sidang kemuncak itu, kedua-dua pihak turut mengeluarkan kenyataan bersama melibatkan pemimpin China dan EU berhubung usaha menangani perubahan iklim.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial