BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Perlu Pergiat Cegah Insiden Lemas - Pakar

25/07/2025 12:08 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) --  Malaysia perlu mempergiat usaha mencegah kejadian lemas terutama dalam kalangan kanak-kanak, kata pakar kesihatan awam dan pencegahan kecederaan Prof Dr Kulanthayan KC Mani. 

Menyifatkan lemas sebagai krisis kesihatan awam yang boleh dicegah, Dr  Kulanthayan berkata dianggarkan 700 kes lemas berlaku setiap tahun di Malaysia, dengan 500 daripadanya melibatkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun. 

“Angka ini bukan sekadar statistik tetapi ia mencerminkan tragedi yang sepatutnya boleh dielakkan dan memberi kesan kepada keluarga serta komuniti,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama sempena Hari Pencegahan Lemas Sedunia hari ini.  

Beliau yang juga Ketua Kumpulan Penyelidikan Pencegahan Kecederaan dan Promosi Keselamatan Putra di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan Malaysia mencatatkan 255 kematian akibat lemas pada 2022 manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat melaporkan 258 kes pada tahun lepas.

Bagaimanapun, jumlah sebenar mungkin lebih tinggi disebabkan oleh pelaporan yang tidak lengkap, pengelasan semula kes dan insiden yang tidak didokumenkan.

Tema global Hari Pencegahan Lemas Sedunia tahun ini “Sesiapa Boleh Lemas, Tiada Siapa Patut Lemas”, menggesa tindakan segera secara bersepadu. Laporan Status Global WHO mengenai Pencegahan Lemas  yang julung kali dikeluarkan pada 2024, telah menyediakan panduan kepada kerajaan, komuniti dan individu seluruh dunia. 

Dr Kulanthayan berkata langkah praktikal seperti memasang penghadang di kawasan air, menempatkan pengawal penyelamat di kolam renang awam dan pantai, serta mengeluarkan amaran cuaca tepat pada masanya boleh mengurangkan risiko lemas dengan ketara, selain menggesa pengendali hotel dan apartmen memastikan kemudahan kolam renang diselia dengan baik.

Beliau berkata tindak balas mencari dan menyelamat yang pantas serta bersepadu amat penting manakala pendidikan awam mengenai teknik menyelamat nyawa dan kesiapsiagaan kecemasan perlu diperkukuhkan.

Mengenai tanggungjawab individu, beliau menyeru ibu bapa untuk melengkapkan anak-anak dengan kemahiran berenang dan tidak meninggalkan mereka tanpa pengawasan di kawasan air.

Beliau memuji inisiatif Kementeiran Belia dan Sukan pada 2022 yang menawarkan kelas renang kepada kanak-kanak B40, yang menurutnya bukan sahaja dapat mengelak kejadian lemas tetapi juga menyemai bakat dalam sukan akuatik. 

Dr Kulanthayan juga memberi amaran terhadap pengambilan alkohol dan ubat penenang ketika melakukan aktiviti di air, sambil menegaskan bahawa kesedaran awam mengenai keadaan cuaca, bendera keselamatan di pantai dan penggunaan peralatan pelampung yang sempurna juga sangat penting.

“Pencegahan kejadian lemas bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi setiap orang mempunyai peranan sama ada pembuat dasar, pengendali, ibu bapa mahupun pelancong,” katanya. 

Hari Pencegahan Lemas Sedunia disambut setiap tahun pada 25 Julai susulan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf lemas sebagai punca utama kematian yang boleh dicegah di seluruh dunia. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan