BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hospital Pasir Gudang Beroperasi Apabila Capai 50 Peratus Kesiapsiagaan - Dzulkefly

24/07/2025 10:48 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Hospital Pasir Gudang (HPG), Johor akan beroperasi selepas mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus kesiapsiagaan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) kini giat melaksanakan persiapan rapi bersama kerajaan Johor bagi memastikan kelengkapan asas, peralatan perubatan dan sumber manusia mencukupi sebelum hospital itu memulakan operasi.

"Saya dan Menteri Besar Johor telah bersetuju untuk memastikan bahawa sekurang-kurangnya kita mencapai sekitar 50 peratus kesiapsiagaan, bukan sahaja dari segi bangunan fizikal, tetapi juga peralatan serta sumber manusia sebelum beroperasi secara menyeluruh," katanya pada sidang media selepas melancarkan Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT) 2026 di sini hari ini.

Dzulkefly berkata proses pengambilan kakitangan hospital itu dijangka diselesaikan selewat-lewatnya hujung tahun ini atau suku pertama 2026.

"Kerajaan negeri akan cuba memberi apa jua bantuan yang boleh kepada KKM bagi memastikan bahawa bekalan sumber manusia akan dapat dipenuhi sekurang-kurangnya 50 peratus untuk kita mula beroperasi," katanya.

Sebelum ini, HPG yang terletak di Bandar Seri Alam dengan keluasan 20.6 hektar dan dilengkapi 304 katil serta 14 perkhidmatan pakar, dilaporkan akan mula beroperasi secara berfasa pada 1 Ogos ini.

Dalam pada itu, Dzulkefly menzahirkan rasa syukur susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa kerajaan akan menyegerakan pengisian lebih 4,000 jawatan di fasiliti kesihatan awam termasuk lantikan doktor kontrak.

"Kami sangat bersyukur kerana telah menerima 4,253 perjawatan dan baru sahaja mendapat surat rasmi daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) berkenaan perkara tersebut.

“Kita akan segera melaksanakan pengisian perjawatan itu khususnya bagi memperjuangkan peralihan status doktor dan petugas kesihatan daripada kontrak untuk perkhidmatan kepada kontrak perkhidmatan dan seterusnya kepada jawatan tetap,” katanya,

Dzulkefly berkata pengumuman itu merupakan satu insentif untuk petugas kesihatan terus bersama KKM serta meningkatkan moral mereka.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan