KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melaksanakan kajian pengagihan tidak seimbang (maldistribution studies) bagi meneliti penempatan pegawai perubatan di fasiliti kesihatan seluruh negara, kata Timbalan Menterinya Datuk Lukanisman Awang Sauni.
Sebagai contoh, katanya KKM mengemukakan 650 perjawatan tetap di Sabah dan Sarawak namun hampir 600 pegawai mengemukakan surat rayuan untuk keluar daripada penugasan di kedua-dua negeri berkenaan.
"Hanya tujuh pegawai perubatan sahaja yang klik perjawatan tetap tersebut…jadi, bagaimana untuk kita membantu dan memberikan hak kepada rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan? Adakah kita wajar meletakkan kesemua pegawai perubatan di Lembah Klang atau di dalam bandar sahaja?
"Kita harus memikirkan hak asasi manusia untuk rakyat Malaysia sewajarnya. Walaupun demikian, kita sedang mengusahakan bagaimana kaedah untuk kita memperbanyak jawatan tetap kepada pegawai perubatan yang selayaknya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Laporan Tahunan serta Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2023 pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang dijadual dibentangkan pada sidang kali ini, memberikan penekanan khusus kepada empat komponen utama iaitu definisi pekerja gig, pendapatan, mekanisme penyelesaian pertikaian dan perlindungan sosial.
Beliau berkata RUU tersebut memperkenalkan mekanisme penyelesaian pertikaian tersusun sebagai saluran rasmi pekerja gig mengemukakan sebarang isu atau ketidakadilan perkhidmatan mereka sekali gus membolehkan aduan ditangani dengan sistematik.
“Proses penyelesaian pertikaian boleh dibuat melalui beberapa peringkat iaitu melalui mekanisme dalaman, prosiding pendamaian dan jika tidak boleh diselesaikan, pertikaian akan dibawa ke tribunal pekerja gig,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan laporan berkenaan bagi kementerian itu.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah pula berkata kementeriannya sedia meneliti kewajaran melaksanakan kawal selia tambang perkhidmatan e-hailing menerusi hasil dapatan dan syor daripada Pelan Strategik Pengangkutan Awam Darat Lembah Klang (PSPALK) yang dijangka dimuktamadkan hujung tahun ini.
Selain itu, beliau berkata Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Bank Negara Malaysia melaksanakan kajian berkaitan e-hailing yang akan selesai September ini bagi mengenal pasti penyelesaian insurans harian atau apa-apa bentuk insurans yang lebih fleksibel dan mampu milik kepada pemandu.
“Bagi perkhidmatan p-hailing pula, belum terdapat pelan perlindungan insurans khusus yang diwujudkan untuk segmen tersebut namun Kementerian Pengangkutan sedang menyelaras usaha bersama Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Bank Negara bagi merangka dan mewujudkan satu kod perlindungan insurans khas bagi aktiviti p-hailing,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial