KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- AIMS Data Centre Sdn Bhd (AIMS) telah memacu usaha untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab data terkemuka Asia Tenggara dengan melengkapkan blok hab datanya di Cyberjaya lebih awal daripada jadual.
Ketua Pegawai Eksekutif AIMS Chiew Kok Hin dalam satu kenyataan hari ini berkata kemudahan AIMS Cyberjaya Block 3 berjaya disiapkan lebih awal berbanding jadual asal tahun depan, berikutan perancangan rapi, sokongan pelanggan yang kukuh dan permintaan pasaran yang mantap.
Beliau berkata blok baharu itu menjadikan jumlah potensi kapasiti keseluruhan AIMS kepada lebih 100 megawatt di Lembah Klang, sekali gus meletakkan syarikat itu sebagai pengendali pusat data terbesar mengikut kapasiti di Cyberjaya.
Chiew berkata penyampaian lebih awal daripada jadual itu juga merupakan hasil pendekatan kolaboratif dan semangat perkongsian awam-swasta, yang membolehkan pelaksanaan lebih pantas daripada Invest Selangor, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Tenaga Nasional Bhd, Air Selangor dan entiti kerajaan tempatan seperti Majlis Perbandaran Sepang serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Ditubuhkan di Malaysia pada 1990, AIMS merupakan salah satu pengendali pusat data terkemuka di Asia Tenggara dan penyedia infrastruktur digital saling berkait.
Sejak pengambilalihan kepentingan dalam AIMS oleh DigitalBridge dan pembentukan perkongsian dengan pemegang saham sedia ada, Time dotCom pada 2022, AIMS berjaya meraih lebih RM2 bilion modal hutang dan modal ekuiti untuk menyokong pertumbuhan sektor infrastruktur digital Malaysia.
Chiew berkata infrastruktur bertaraf dunia dan kepakaran teknikal AIMS telah menarik penyedia awan global dan rangkaian kandungan ke Malaysia, memacu pertumbuhan dalam teknologi kewangan, e-dagang dan kecerdasan buatan (AI).
AIMS, katanya, akan terus memainkan peranan penting dalam pembinaan negara dengan menarik pelaburan langsung asing ke Malaysia dan menunjukkan keupayaan negara untuk memupuk jaguh ekonomi digital.
“Di AIMS, kami memperoleh kepuasan apabila mengetahui kehadiran kami telah membantu meletakkan Malaysia sebagai pangkalan serantau bagi pemain global, mewujudkan peluang melangkaui pusat data dan mengukuhkan ekonomi digital dengan lebih meluas,” kata Chiew.
Beliau berkata AIMS sedang mengalami permintaan yang melonjak daripada rancangan pelanggan antarabangsa yang kukuh, didorong oleh pendigitalan yang pesat di rantau ini, peningkatan beban kerja awan dan AI, serta daya tarikan Malaysia yang semakin meningkat sebagai destinasi pusat data strategik.
“Penyedia perkhidmatan awan berskala besar, perusahaan dan penyedia perkhidmatan digital semakin beralih ke Malaysia kerana kos struktur negara kita yang kompetitif, sumber kuasa dan tanah yang banyak, dasar kerajaan yang menyokong, serta berhampiran pasaran serantau.
Disokong oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi serantau Time dotCom dan pelabur infrastruktur DigitalBridge, AIMS telah berkembang secara progresif melangkaui Malaysia, sambil mengekalkan komitmen untuk meningkatkan infrastruktur digital negara, mewujudkan peluang pekerjaan bagi tenaga mahir, dan melatih bakat tempatan dalam bidang teknikal yang kritikal.
Sehingga kini, AIMS menyediakan peluang pekerjaan langsung kepada lebih 200 orang di beberapa kemudahannya, menawarkan pengalaman teknikal bernilai tinggi dan peluang pembangunan kerjaya, selain lebih 100 orang bekerja secara langsung di kemudahan operasi dan pembinaannya.
Sebagai salah satu daripada penyedia pusat data terkemuka di Asia Tenggara, AIMS menawarkan perkhidmatan seperti pengurusan perkhidmatan, sewaan ruang, pemulihan bencana dan penyelesaian perusahaan bersepadu.
Ia turut berfungsi sebagai tapak utama bagi Malaysian Internet Exchange, menguruskan trafik antarabangsa dan tempatan kepada lebih 100 rangkai padan dan rangkaian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial