BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Sedang Giat Berunding Dengan AS, Sasar Tarif Bawah 20 Peratus – Tengku Zafrul

24/07/2025 08:48 PM

PETALING JAYA, 24 Julai (Bernama) -- Malaysia sedang giat berunding dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif 25 peratus yang akan berkuat kuasa pada 1 Ogos ini dengan sasaran untuk mengurangkannya di bawah paras 20 peratus.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pengumuman berhubung perkara itu dijangka dibuat sebaik sahaja semua terma dimuktamadkan.

"Perbincangan sedang berjalan. Malah, rundingan diteruskan minggu ini, jadi kita masih berada di landasan untuk mencapai tarikh akhir itu. Sebaik terma dipersetujui, saya percaya pengumuman akan dibuat," katanya kepada pemberita pada Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN (ASEMIS) 2025.

Mengenai kemungkinan lanjutan tarikh akhir, Tengku Zafrul berkata ia bergantung kepada pentadbiran Presiden AS Donald Trump, sambil menambah tiada sebarang rundingan rasmi mengenai lanjutan diadakan setakat ini.

"Setiap negara berdepan cabaran berbeza berkaitan dengan perkara yang boleh kita tawarkan. Kita tidak boleh menawarkan perkara yang kita tidak ada atau perkara yang kita rasa mungkin boleh memudaratkan industri Malaysia. Ini adalah faktor yang perlu kita pertimbangkan dengan teliti," katanya.

Bagaimanapun Tengku Zafrul enggan mendedahkan kompromi yang ditawarkan Malaysia dalam perbincangan perdagangan yang sedang berjalan dengan AS.

Dilaporkan bahawa halangan bukan tarif menjadi tumpuan utama perbincangan yang menyentuh beberapa isu seperti pensijilan halal dan perolehan kerajaan yang berkait rapat dengan kepentingan negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan