KUALA NERUS, 24 Julai (Bernama) -- Kesempitan hidup memaksa lapan beranak berteduh dalam sebuah bangunan rumah burung layang-layang di Kampung Batin, Seberang Takir di sini sejak setahun lepas.
Mohd Nazarudin Muhamat, 50, berkata beliau bersama isteri dan enam anak terpaksa menumpang di bangunan milik ibu mentuanya itu kerana tidak mampu membayar kos sewa rumah yang tinggi.
Beliau yang bekerja sebagai mekanik berkata pendapatannya yang tidak menentu iaitu sekitar RM500 hingga RM1,000 sebulan, hanya cukup untuk makan dan belanja persekolahan lima anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD).
“Pada asalnya, kami tinggal di bahagian stor bangunan rumah burung yang sangat sempit. Dengan sedikit wang yang ada, saya sambung sedikit demi sedikit buat ruang bilik dan dapur walaupun dalam keadaan serba daif.
“… tetapi sekarang tak ramai orang yang hantar baiki kereta ke rumah… duit untuk makan pun tak cukup. Saya tak mampu nak siapkan rumah. Tandas pun kami tak ada… terpaksa menumpang surau atau stesen minyak untuk buang air,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batin, Seberang Takir hari ini.
Mohd Nazarudin berkata kediamannya juga sering dimasuki haiwan liar dan berbisa seperti babi, ular dan kala jengking kerana tidak mempunyai pintu.
Setiap malam beliau tidak lena tidur memikirkan keselamatan isteri yang sedang hamil tujuh bulan dan anaknya yang berusia antara 12 hingga tiga tahun.
“Kalau diikutkan memang saya sentiasa dalam keadaan tidak tenang fikirkan keselamatan keluarga tetapi kami tidak ada pilihan lain. Ibu mentua bagi kebenaran menumpang dan buat rumah di sini pun dah kira bertuah.
“Setakat ini bantuan yang saya terima hanyalah untuk anak OKU dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi baru-baru ini saya ada mohon dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Insya-Allah mereka memaklumkan mungkin akan dapat tahun depan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Terengganu Md Razi Md Lazim yang turun padang melawat keluarga berkenaan berkata pihaknya akan membantu menyiapkan kediaman lebih selesa.
“Kami akan siapkan peruntukan dan lantik kontraktor untuk laksanakan kerja-kerja menyiapkan rumah agar lebih sesuai dan selesa didiami.
“Keadaan tempat tinggal mereka sekarang memang sangat daif dan tidak sesuai untuk anak-anak kecil membesar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial