BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tiada Kompromi Terhadap Kecuaian Libatkan Keselamatan Murid - Wong

24/07/2025 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk kecuaian yang boleh menjejaskan keselamatan murid khususnya mereka yang berkeperluan pendidikan khas, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Beliau berkata insiden kecederaan seorang murid berkeperluan khas pada tahun 2023 wajar dijadikan pengajaran penting dalam memperkukuh tanggungjawab bersama bagi memastikan sekolah kekal sebagai tempat yang selamat dan kondusif untuk semua.

“Kementerian Pendidikan (KPM) juga menekankan penghayatan adab dan akhlak murid selain menasihati semua institusi pendidikan agar mematuhi Surat Pekeliling Ikhtisas berkaitan prosedur operasi standard termasuk mengenai pelaporan insiden serta panduan keselamatan dalam aktiviti pendidikan jasmani dan kokurikulum.

“Sekolah turut digalakkan membuat penilaian risiko secara sistematik bagi setiap aktiviti dan memperkukuh program pendidikan sivik serta nilai empati dalam kalangan murid,” katanya.

Wong berkata demikian pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai pendirian kerajaan berhubung insiden kecederaan yang melibatkan seorang murid berkeperluan khas semasa berada di dalam kelas pada 12 Okt 2023.

Wong berkata KPM komited melindungi kesejahteraan semua murid tanpa mengira latar belakang dan memberi penekanan kepada persekitaran sekolah yang selamat, inklusif serta menyokong perkembangan menyeluruh.

Mengenai kes berkenaan, beliau berkata KPM telah mengambil langkah serta-merta dan jangka panjang termasuk melalui pihak sekolah yang melaksanakan beberapa tindakan intervensi dengan menyediakan sokongan psikologi, sosial dan kaunseling kepada murid serta keluarga melalui program kunjungan guru ke kediaman mereka.

Beliau berkata siasatan juga telah dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah bagi meneliti punca sebenar kejadian.

“KPM mendapati kejadian itu merupakan kemalangan yang tidak melibatkan kecuaian profesional atau pelanggaran tatakelakuan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawai yang terlibat,” katanya.

Wong berkata bagaimanapun, kes tersebut sedang dalam proses perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan KPM sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak mahkamah sepanjang proses itu berlangsung. 

“KPM akan terus memantau perkembangan kes ini dan memberikan kerjasama penuh demi keadilan kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan