BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan Perlu Kenal Pasti Aliran Hasil Baharu Selepas Pengumuman Berkaitan Fiskal - Kenanga Investment

24/07/2025 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kerajaan perlu meneroka sumber hasil baharu dan mampan untuk mengurangkan pergantungan pada hasil tidak menentu selepas pengumuman khas mengenai langkah-langkah sokongan fiskal baharu pada 23 Julai, kata Kenanga Investment Bank Bhd.

Ia termasuk meningkatkan pematuhan cukai, meluaskan asas cukai dan memperkenalkan instrumen fiskal alternatif, katanya dalam nota penyeldikan hari ini.

Kenanga Investment berkata walaupun langkah fiskal baharu berjumlah kira-kira RM2.8 bilion atau 0.14 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mungkin sederhana, berkemungkinan akan membawa defisit fiskal melebihi sasaran kerajaan untuk 2025 iaitu sebanyak 3.8 peratus.

“Kami mengekalkan unjuran defisit kami sebanyak 4.1 peratus daripada KDNK dengan mengandaikan tiada pengimbangan keuntungan hasil dan mengambil kira kesan unjuran pertumbuhan KDNK yang lebih perlahan.

"Walaupun pengembangan SST bermula pada suku ketiga 2025 dan rasionalisasi subsidi akan datang, mungkin pada suku keempat 2025 bagi mengurangkan tekanan fiskal, kami berpendapat kerajaan mesti meneroka sumber pendapatan baharu dan mampan secara proaktif," katanya.

Kenanga Investment berkata langkah fiskal bersasar yang baharu diumumkan diunjurkan akan meningkatkan penggunaan swasta pada separuh kedua 2025 dan membantu mengimbangi risiko perdagangan luar akibat impak tarif yang tinggi.

"Kami menjangkakan limpahan ke dalam perbelanjaan isi rumah yang lebih kukuh (jumlah wang yang boleh dibelanjakan) dalam makanan dan minuman, runcit dan barangan keperluan, sebahagiannya mengimbangi kesan eksport jika ketegangan perdagangan meningkat.

"Kami menjangkakan pertumbuhan penggunaan swasta berkembang sebanyak 5.8 peratus pada 2025 (2024: 5.1 peratus), disokong oleh kesan langkah baharu ini, ditambah dengan keadaan pasaran buruh yang stabil dan peningkatan pendapatan isi rumah," katanya.

Sementara itu, Kenanga Investment juga mengunjurkan hutang kerajaan mencecah RM1.33 trilion, atau 65.9 peratus daripada KDNK pada 2025, mencerminkan prospek lebih berhati-hati berbanding jangkaan sebanyak 64 peratus oleh Kementerian Kewangan.

Unjuran itu didorong kebanyakannya oleh jangkaan pertumbuhan KDNK separuh kedua 2025 yang lebih perlahan untuk menyeret turun KDNK nominal, seterusnya meningkatkan nisbah hutang kepada KDNK.

"Penembusan sementara siling 65 peratus mungkin boleh berlaku tetapi kami menjangkakan kerajaan menguruskan perkara ini melalui gabungan disiplin fiskal, mobilisasi hasil dan pengeluaran hutang berhemat.

"Keyakinan pelabur yang berterusan, disokong oleh pasaran bon domestik stabil dan prospek ringgit lebih kukuh akan menjadi faktor penting dalam menguruskan kemampanan hutang dalam jangka sederhana," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan