Oleh Nurul Hanis Izmir
PUTRAJAYA, 24 Julai (Bernama) -- Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu merangkumi bantuan tunai RM100 secara sekali, penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter untuk yang layak serta cuti tambahan sempena Hari Malaysia, dilihat tidak hanya meredakan kos sara hidup tetapi mampu merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.
Penganalisis yang juga Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata langkah itu juga memberi isyarat jelas bahawa ruang fiskal hasil daripada dasar konsolidasi sebelum ini telah dimanfaatkan untuk perbelanjaan bersasar demi kepentingan rakyat.
“Langkah-langkah seperti rasionalisasi subsidi bahan api diesel sebelum ini telah membuka ruang fiskal yang kini digunakan untuk tujuan peruntukan tambahan.
“Ini akan menyokong ekonomi domestik dan pada masa sama membantu mengekang risiko luaran, terutamanya dalam keadaan ketidaktentuan pasaran global dan tarif perdagangan oleh Amerika Syarikat (AS),” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam juga menyifatkan pakej bantuan ini sebagai pelengkap dasar monetari Bank Negara Malaysia yang sebelum ini menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas, sekali gus mengukuhkan landasan pertumbuhan bagi separuh kedua 2025.
Dalam pengumuman itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkongsi beberapa inisiatif utama sebagai tanda penghargaan Kerajaan MADANI kepada rakyat seperti bayaran tunai kepada rakyat dewasa berjumlah RM2 bilion yang menjadikan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tahun ini meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion.
Peruntukan program Jualan Rahmah MADANI turut ditingkatkan kepada RM600 juta, kadar tol bagi 10 lebuh raya dikekalkan melibatkan perbelanjaan RM500 juta selain cuti tambahan pada 15 September bagi merancakkan pelancongan domestik.
Tidak kurang menarik adalah penetapan harga RON95 serendah RM1.99 seliter yang lebih rendah daripada harga semasa RM2.05 seliter yang menjadi langkah awal pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar yang bakal diumumkan secara rasmi pada September depan.
Selain itu, pengumuman berkenaan turut disambut baik rakyat, termasuk kalangan pekerja.
Bagi pekerja swasta Nursuhana Redzuwan, 32, inisiatif itu memberi sedikit kelegaan dalam mengurus kehidupan seharian.
“Seronok juga dapat cuti lama sikit, dapat rehat dan luang masa dengan keluarga. Bantuan tunai RM100 boleh dimanfaatkan untuk beli barang dapur. Dapat minyak murah, duit poket dan cuti panjang,” katanya.
Penjawat awam Niam Seet Wei, 41, pula memuji langkah penurunan harga RON95, namun pada masa sama berharap untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut.
“Langkah kerajaan mengurangkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 pada masa ini, wajar dipuji, lebih-lebih lagi dengan harga minyak mentah penanda aras global Brent turun ke paras kira-kira US$68 setong (setakat petang ini) daripada US$80 setong pada Januari 2025.
“Namun, penjelasan terperinci diperlukan seperti alasan penetapan pada harga RM1.99 seliter...adakah ini paras harga (lantai) apabila mekanisme subsidi bahan api bersasar diperkenalkan? Kedua, apakah pelaksanaan itu melibatkan semua pemegang MyKad tanpa mengira kumpulan pendapatan, membelinya pada harga sama?
“Ketiga, jika harga minyak mentah global meningkat lebih US$80 setong semula, adakah terdapat had atau mekanisme pelarasan berkaitan?" katanya.
Sementara itu, pekerja sektor perkhidmatan K. Raja Murukan, 52, berkata bantuan keseluruhan RM300 yang bakal diterima akan dimanfaatkan untuk membeli barangan keperluan asas seperti makanan.
“Saya tinggal di Pulau Meranti (Puchong, Selangor) bersama isteri dan anak perempuan berumur 20 tahun. Kami akan gunakan RM300 tu untuk beli barang dapur,” katanya.
Mengulas penurunan harga RON95, beliau berkata impak penurunan itu tidak dapat dilihat sekarang kerana masih belum dilaksanakan, namun berharap kerajaan akan menetapkannya pada paras harga RM1.95 seliter.
“Pada masa ini, kami bayar pun sekitar RM2 seliter dan tak nampak sangat kesan (penurunan kepada RM1.99 seliter). Jika boleh, turunkan kepada RM1.95,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial