BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hanya Perdamaian Jalan Untuk Hentikan Konflik Thailand-Kemboja, Kata PM

24/07/2025 06:00 PM

PETALING JAYA, 24 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Thailand dan Kemboja menghentikan tindakan ketenteraan serta segera kembali ke meja rundingan bagi meredakan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.

Menyifatkan konflik terbaharu antara tentera Thailand dan Kemboja awal pagi ini sebagai amat membimbangkan, Anwar berharap beliau dapat berbincang dengan pemimpin kedua-dua negara hari ini bagi menzahirkan pandangannya secara terus. 

"Kedua-dua negara adalah anggota ASEAN yang penting dan mereka amat akrab dengan Malaysia. Saya telah berhubung dengan kedua-dua Perdana Menteri.

“Kita berharap sekurang-kurangnya kedua-dua pihak dapat menghentikan serangan dan mudah-mudahan mereka bersedia untuk memulakan rundingan damai.

"Mereka sudah cuba tetapi saya masih berpandangan bahawa perdamaian adalah satu-satunya pilihan yang ada,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN (ASEMIS) 2025 di sini hari ini.

 

Anwar berkata meskipun pernah mengadakan perbincangan awal bulan lepas dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra yang kini digantung tugas, beliau tetap berhasrat mengadakan satu lagi rundingan dengan pemimpin kedua-dua negara.

Bekas Menteri Pertahanan Thailand Phumtham Wechayachai telah dilantik sebagai Pemangku Perdana Menteri pada awal bulan ini selepas Mahkamah Perlembagaan menggantung tugas Paetongtarn susulan siasatan terhadapnya membabitkan dakwaan melanggar standard etika.

Ditanya sama ada konflik itu boleh menjejaskan hubungan perdagangan, Anwar berkata adalah terlalu awal untuk membincangkan perkara tersebut daripada aspek berkenaan.

“Saya percaya ini adalah situasi yang bersifat sementara. Kedua-dua pihak sentiasa mengutamakan kepentingan negara masing-masing serta menginginkan penyelesaian damai bagi konflik ini. Mereka juga mahu memastikan ASEAN terus memainkan peranan aktif dan kita akan berusaha merealisasikannya,” kata beliau sambil menekankan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Kemboja dan Thailand terjerumus dalam pertelingkahan diplomatik yang serius sejak 28 Mei lepas susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara di sepanjang sempadan Preah Vihear, yang telah meragut nyawa seorang anggota tentera Kemboja.

Pada Rabu, Kerajaan Thailand telah menurunkan tahap hubungan diplomatik dengan Kemboja sebagai tindak balas segera selepas seorang anggota tenteranya cedera akibat letupan yang didakwa berpunca daripada periuk api baru yang ditanam.

Sehari kemudian, Kerajaan Kemboja membalas tindakan itu dengan menurunkan hubungan diplomatiknya dengan Thailand ke tahap paling rendah.

Menurut laporan media hari ini, seorang warga awam Thailand terbunuh manakala tiga lagi, termasuk seorang kanak-kanak berusia lima tahun, cedera parah susulan pertempuran antara tentera Thailand dan Kemboja di kawasan sempadan terbabit pada awal pagi Khamis.

Kedua-dua negara jiran di Asia Tenggara itu sudah lama berselisih faham mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum ditentukan dengan jelas, yang terus memburukkan hubungan diplomatik antara Kemboja dan Thailand.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan