MUAR, 24 Julai (Bernama) -- Persiapan bagi Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 serta program sisipan lain sempena majlis itu yang dijadualkan bermula esok di Dataran Tanjung Emas di sini, sedang giat dilakukan dan kini mencapai lebih 90 peratus.
Pengarah Kanan (Pengurusan) Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Naim Fahmi Ahmad Tajuddin berkata persiapan hari ini tertumpu kepada lokasi tumpuan majlis seperti khemah utama serta reruai pameran kementerian dan agensi kerajaan menerusi Karnival Kita MADANI.
“Kita juga memastikan reruai pameran Komuniti MADANI siap dipasang hari ini, dan terdapat 16 ruang untuk setiap negeri dengan mempertonton kepada orang ramai produk dari negeri masing-masing seperti makanan dan pakaian tradisional mereka.
“Persiapan di pentas utama merangkumi LED, sistem audio semuanya dipastikan dalam keadaan yang baik serta tidak mempunyai masalah ketika majlis berkenaan berlangsung,” katanya kepada Bernama semasa meninjau tapak majlis berkenaan hari ini.
Melalui tinjauan Bernama, petugas logistik juga dilihat sibuk menyiapkan barangan dan peralatan di bahagian khemah utama perasmian, reruai pameran dan bahagian Jualan Rahmah MADANI, Jualan Agro MADANI serta Jualan Kasih Johor.
Naim Fahmi berkata orang ramai boleh hadir bermula esok untuk menikmati pelbagai menu makanan Johor dan makanan tular yang dibawakan khas kira-kira 15 peniaga Food Truck Selera MADANI.
“Bagi hari Jumaat (malam), tayangan filem aksi Sheriff: Narko Integriti akan ditayangkan di pentas utama, manakala hari Sabtu (malam) Fiesta Seni MADANI akan diadakan dengan menampilkan selebriti AC Mizal, Ayai Ilusi dan Asmidar,” katanya.
Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 pagi, 27 Julai ini.
Pelbagai program sisipan lain turut diadakan iaitu Bakti Komuniti MADANI di Taman Tun Sulaiman Ninam Shah pada 26 Julai, sementara Merdeka 6.8KM Fun Run & Walk serta Pelepasan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 pula pada 27 Julai di dataran berkenaan.
Pemukiman Komuniti MADANI pula diadakan di Mini Stadium Bistari Ayer Keroh, Melaka pada 26 Julai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial