BELANJAWAN 2025 > BERITA

Dobot Malaysia Sasar Raih Pendapatan RM3 Juta Susulan Pengembangan Tempatan

24/07/2025 03:09 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

SUBANG JAYA, 24 Julai (Bernama) -- Dobot Malaysia Sdn Bhd menyasar meraih pendapatan sebanyak RM3 juta tahun ini susulan pengembangan operasinya di Malaysia.

Pengurus negaranya (Malaysia dan India) Kent Goh berkata pembukaan anak syarikat Dobot Robotics di negara ini merupakan satu kemajuan penting dalam pengembangan global syarikat untuk memacu inovasi teknologi.

“Kami mahu meningkatkan produktiviti untuk memacu penyesuaian Industri 4.0

“Selain itu, permintaan untuk pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mempercepatkan penggunaan teknologi manakala kenaikan gaji dan kawalan yang lebih ketat terhadap pengambilan buruh asing juga mendorong permintaan terhadap automasi,” katanya kepada Bernama selepas majlis pembukaan cawangan Dobot Malaysia, di sini, hari ini.

Dobot Robotics adalah syarikat penyelidikan dan pembangunan (R&D) global serta pengilang yang mengkhusus dalam robot pintar yang berpangkalan di China.

Syarikat itu, yang ditubuhkan pada 2015, telah mengeksport lebih 80,000 unit robot ke lebih 80 negara di seluruh dunia.

Goh berkata Dobot Robotics juga telah berjaya menjual lebih 500 unit robot di Malaysia sejak lima tahun lepas.

Oleh itu, katanya, Dobot Malaysia akan memberi tumpuan kepada sektor automotif dan elektronik pengguna dengan pakej tawaran bernilai antara RM10,000 hingga lebih RM100,000.

Sementara itu, pengasas bersama Dobot Robotics Jun Jie Xie menerusi ucapan pembukaannya berkata Dobot Malaysia menyasar untuk meningkatkan pertumbuhannya dengan menumpukan kepada empat strategi utama iaitu memperkasakan pembuatan pintar, memperdalam integrasi pendidikan industri, meningkatkan perkhidmatan setempat serta membina bersama ekosistem inovasi.

“Dobot akan menawarkan penyelesaian yang disesuaikan untuk pengeluar tempatan, mengoptimumkan ketepatan dan kecekapan dalam proses seperti pemasangan elektronik, kimpalan dan pemeriksaan kualiti, meningkatkan daya saing global.

"Dengan bekerjasama bersama penyepadu sistem, penyedia teknologi dan pengilang, Dobot menyasar untuk membangunkan ekosistem robotik kolaboratif yang memacu inovasi dan penyelesaian automasi menyeluruh," katanya.

Mengenai prospeknya, Goh berkata syarikat itu juga merancang untuk berkembang ke Pulau Pinang tahun depan bagi mengembangkan lagi bahagian pasaran di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan