BELANJAWAN 2025 > BERITA

Terbuka China: Tang Jie-Ee Wei Mara Ke Suku Akhir, Jun Hao Tersingkir 

24/07/2025 01:52 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka China 2025 selepas melepasi cabaran pada pusingan kedua di Changzhou, hari ini.

Beraksi di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, gandingan pilihan keempat itu hanya mengambil masa 35 minit untuk menundukkan beregu tuan rumah Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying, 22-20, 21-17.

Tang Jie-Ee Wei bakal berdepan satu lagi pasangan dari China Guo Xin Wa-Chen Fang Hui pada aksi suku akhir esok.

Guo-Chen sebelum ini mencipta kejutan apabila menyingkirkan pasangan pilihan kelima dari Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, 22-20, 21-15.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao apabila tersingkir selepas kecundang kepada juara dunia dari Thailand Kunlavut Vitidsarn, 21-23, 7-21.

Keputusan hari ini menyaksikan Jun Hao mengalami penyingkiran awal ke-11 dalam 12 kejohanan yang disertainya tahun ini.

Pencapaian terbaik pemain nombor 26 dunia itu musim ini adalah layak ke suku akhir Terbuka Singapura 2025 pada Mei lepas, menyaksikan pemain ini juga kecundang di tangan Kunlavut, 13-21, 11-21.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan