KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Kerajaan bakal mengumumkan beberapa langkah proaktif untuk memastikan industri semikonduktor negara terus berdaya saing pada Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN (ASEMIS) 2025 esok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam hantaran di platform X, Anwar berkata langkah proaktif itu akan diumumkan semasa beliau menyampaikan ucaptama di ASEMIS bersempena setahun pelancaran Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
Beliau yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) ketiga bagi 2025 hari ini telah memperincikan status keberhasilan NSS setelah setahun diperkenalkan.
“Kerajaan terus memberi fokus untuk membantu memperkukuh keupayaan industri semikonduktor tempatan bagi mendukung NSS, dengan pelbagai program bantuan fiskal telah dibentangkan dan dipersetujui sekali gus menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memacu industri semikonduktor negara.
“Dalam mesyuarat juga, saya tekankan kepentingan kerajaan memperkukuh keupayaan dalam merangka dasar yang responsif dan berasaskan data bagi memastikan pelaburan yang diterima memberi manfaat jangka panjang kepada negara dan rakyat,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan.
NSS yang dilancarkan pada 28 Mei tahun lepas bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
Antara hala tuju jelas NSS adalah menyasarkan pembangunan 110 syarikat tempatan dalam aktiviti bernilai tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial