BELANJAWAN 2025 > BERITA

Cools Serah Kepada FAM Tentukan Aksi Persahabatan Harimau Malaya

22/07/2025 08:46 PM

PETALING JAYA, 22 Julai (Bernama) -- Pemain pertahanan kebangsaan Dion Cools menyerahkan sepenuhnya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menentukan aksi persahabatan Harimau Malaya pada September nanti.

Ia susulan penarikan diri skuad kebangsaan daripada Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang akan berlangsung di Tajikistan dari 29 Ogos hingga 8 Sept ini. 

Beliau berkata pasukan kebangsaan masih mempunyai ruang bagi membuat persiapan menjelang aksi penting menentang Laos dan Nepal pada Okt dan Nov bagi saingan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027.

“Saya fikir ia berita yang kurang baik (menarik diri daripada Piala Negara-Negara CAFA), namun pada masa yang sama pihak pengurusan telah melakukan yang terbaik. Kita perlu melakukan persiapan untuk kelayakan Piala Asia dan pada saya, itu yang paling mustahak.

“September adalah masa sesuai untuk kita bersiap sedia menghadapi kelayakan Piala Asia pada Oktober (menentang Laos) kerana kita mahu ke Arab Saudi (Piala Asia 2027) dan saya percaya pengurusan akan membuat keputusan terbaik dan kita harus memberi kepercayaan kepada mereka. Saya enggan panik mengenai perkara ini, sebaliknya terus bersama pasukan dalam apa jua keadaan,” katanya.

Beliau yang kini beraksi bersama kelab Liga J1 Cerezo Osaka berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran jersi rekaan khas hasil kerjasama dengan sebuah jenama sukan antarabangsa di sini hari ini.

Sebelum ini, FAM memaklumkan keputusan penarikan diri Harimau Malaya dibuat susulan perubahan tarikh perlawanan yang kini bermula di luar jendela antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sehingga memberikan cabaran dalam segala aspek kepada skuad kebangsaan, memandangkan kelab-kelab tidak mempunyai kewajipan untuk melepaskan pemain mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan