BELANJAWAN 2025 > BERITA

Majlis Tenaga Sabah Lulus Projek Tenaga Berkapasiti 723mw

22/07/2025 04:00 PM

KOTA KINABALU, 22 Julai (Bernama) -- Majlis Tenaga Sabah (MTS) dalam mesyuaratnya hari ini meluluskan secara prinsip projek tenaga dengan jumlah kapasiti 723MW bagi memenuhi permintaan jangka sederhana tenaga elektrik di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata projek itu melibatkan projek loji jana kuasa gas di Kimanis dan Tawau dengan jumlah kapasiti 360MW, serta projek-projek tenaga boleh diperbaharu berkapasiti 363MW, yang merangkumi sumber tenaga hidro dan angin telah diberikan kelulusan bersyarat teknikal dan komersial.

“Setiap keputusan yang dibuat oleh Majlis mestilah dilakukan secara seimbang dan berhemah. Ini selaras dengan pertumbuhan ekonomi negeri, keperluan sektor industri serta kemampuan pengguna untuk menanggung kos penjanaan tenaga yang berpatutan.

“Saya percaya, dengan iltizam dan kerjasama semua pihak, MTS akan terus menjadi platform tertinggi dalam menyelaras dasar tenaga negeri secara bersepadu demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut, di sini hari ini.

Hajiji berkata beberapa projek fast-track yang telah diluluskan dalam mesyuarat MTS tahun lepas, kini mula menunjukkan hasil.

“Antaranya ialah peningkatan jidar simpanan penjanaan tenaga daripada 10 peratus pada Januari 2023 (sebelum Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) mengambil alih kuasa kawal selia) kepada 17 peratus ketika ini dan dijangka meningkat lagi kepada 30 peratus menjelang akhir tahun ini.

“Projek fast-track yang diluluskan oleh MTS turut menyumbang kepada pengurangan Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem (SAIDI) Sabah, daripada 363 minit pada enam bulan pertama tahun 2023 kepada 215 minit dalam tempoh yang sama pada 2024, dan seterusnya menurun kepada 162 minit bagi enam bulan pertama tahun ini,” katanya.

Hajiji turut menggesa agar syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) diperkasakan supaya dapat memainkan peranan lebih besar dalam landskap tenaga negeri.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan