KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Inflasi Malaysia meningkat perlahan 1.1 peratus pada Jun 2025 dengan indeks mencatatkan 134.5 mata berbanding 133.0 pada bulan yang sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam satu kenyataan mengenai Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Jun 2025 oleh jabatan itu, penurunan juga dapat disaksikan pada Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan, yang mencatatkan penyusutan negatif 3.6 peratus pada Mei 2025.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sebanyak 59.2 peratus barangan, iaitu 339 daripada 573 item, mencatatkan kenaikan harga.
“Bagaimanapun, daripada jumlah itu, sebanyak 329 item (97.1 peratus) mencatatkan kenaikan kurang atau sama dengan 10 peratus, manakala hanya 10 item mencatatkan kenaikan melebihi 10 peratus pada Jun 2025.
“Bakinya iaitu 192 item (33.5 peratus) mencatatkan penurunan, manakala 42 item kekal tidak berubah,” katanya.
DoSM berkata kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus kepada keseluruhan IHP, meningkat sebanyak 2.1 peratus pada Jun 2025.
Subkumpulan makanan di luar rumah mencatatkan kenaikan yang lebih tinggi sebanyak 4.7 peratus, berbanding 4.4 peratus pada bulan sebelumnya.
Bagaimanapun, kategori makanan di rumah mencatatkan penurunan 0.4 peratus, sekali gus mengekang inflasi itu daripada meningkat lebih tinggi, katanya.
Jabatan itu berkata terdapat beberapa kumpulan mencatatkan kadar kenaikan yang sama seperti bulan sebelumnya, iaitu pendidikan (2.2 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.7 peratus) serta insurans dan perkhidmatan kewangan (1.5 peratus).
Sementara itu, perkhidmatan restoran dan penginapan meningkat pada kadar yang lebih perlahan iaitu 2.8 peratus pada Jun 2025 (Mei 2025: 3.0 peratus); rekreasi, sukan dan kebudayaan pada 0.8 peratus (Mei 2025: 0.9 peratus); pengangkutan 0.3 peratus (Mei 2025: 0.7 peratus); serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah pada 0.1 peratus (Mei 2025: 0.2 peratus).
Bagaimanapun, beberapa kumpulan mencatatkan kenaikan yang lebih tinggi berbanding Mei 2025, iaitu penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan pada 4.2 peratus (Mei 2025: 3.7 peratus), dan kesihatan pada 1.2 peratus (Mei 2025: 1.1 peratus).
Selain itu, kumpulan maklumat dan komunikasi serta pakaian dan kasut berada pada jajaran negatif, masing-masing pada -5.4 peratus dan -0.3 peratus.
Mohd Uzir menambah di peringkat negeri, sebanyak 10 negeri mencatatkan kenaikan di bawah paras inflasi nasional sebanyak 1.1 peratus, dengan Kelantan merekodkan kenaikan terendah iaitu 0.2 peratus pada Jun 2025.
“Bagaimanapun, lima negeri mencatatkan kadar inflasi melebihi kadar nasional iaitu Negeri Sembilan (1.6 peratus), Selangor (1.6 peratus), Johor (1.5 peratus), Melaka (1.3 peratus) dan Kuala Lumpur (1.2 peratus).
“Kesemua negeri mencatatkan kenaikan inflasi makanan dan minuman, kecuali Kelantan (-0.1 peratus). Kenaikan tertinggi ialah di Negeri Sembilan sebanyak 3.3 peratus, diikuti oleh Selangor (3.1 peratus), Putrajaya (2.9 peratus), Terengganu (2.6 peratus), Johor (2.2 peratus) dan Labuan (2.1 peratus),” katanya.
Bagi suku kedua 2025, Mohd Uzir berkata kadar inflasi meningkat pada kadar yang lebih perlahan iaitu 1.3 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya (S1 2025: 1.5 peratus).
Beliau berkata inflasi keseluruhan secara bulanan meningkat 0.1 peratus pada Jun 2025 berbanding Mei 2025.
Sementara itu, inflasi teras meningkat 1.8 peratus pada Jun 2025, tidak berubah berbanding bulan sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial