Kemalangan ngeri yang mengorbankan 15 bakal pendidik pada 9 Jun lalu menjadikan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli tumpuan rakyat seluruh negara, dengan ada yang menyifatkan lebuh raya berusia lebih 40 tahun itu sebagai antara laluan paling mencabar pernah dilalui mereka.
Jalan bengkang-bengkok umpama ular dipalu, sempit, berselekoh tajam, ketiadaan papan tanda amaran, tandaan jalan pudar, lampu jalan tidak mencukupi serta ancaman hidupan liar, menjadi kata kunci kebanyakan komen masyarakat apabila membicarakan nahas melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.
Tidak kurang juga yang menyindir sudah terhantuk baru terngadah apabila pihak berwajib melakukan pembaikan segera di beberapa lokasi jalan raya hanya selepas kemalangan berlaku, yang turut dilihat oleh masyarakat sebagai mengeyakan bahawa keadaan jalan punca kemalangan.
Realitinya menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, lebih 80 peratus kemalangan berlaku kerana tingkah laku manusia sementara keadaan infrastruktur serta jalan hanya menyumbang 13 peratus.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 3.14 juta kemalangan dalam tempoh lima tahun sejak 2019, iaitu purata 1,720 nahas sehari. Punca utamanya kata PDRM penggunaan alat telekomunikasi, terbabas sendiri dan kecuaian pemandu.
SENGGARA LEBIH 15,000 KM JALAN PERSEKUTUAN
Mengetengahkan fakta hanya 13 peratus kemalangan disebabkan keadaan jalan dan infrastruktur kepada umum menerusi platform media sosialnya, Kementerian Kerja Raya bagaimanapun menegaskan ia tidak sesekali mengabaikan aspek penyenggaraan jalan dan infrastruktur di bawah bidang kuasanya.
Menurut kementerian itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) bertanggungjawab ke atas jalan persekutuan dengan panjang keseluruhan kira-kira 15,000 kilometer di Semenanjung Malaysia.
pic-2
Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata keperluan penyenggaraan jalan persekutuan di Semenanjung amat tinggi memandangkan jaringan jalan yang luas dengan kadar aliran trafik sangat tinggi, selain sudah berusia, terutama di kawasan bandar dan perindustrian.
"Penyenggaraan itu melibatkan pelbagai elemen seperti turapan, struktur sokongan, cerun, longkang, perabot jalan dan sistem saliran. Kekerapan kerosakan akibat beban trafik berat, hujan lebat dan banjir turut menambah keperluan penyenggaraan yang lebih menyeluruh dan berterusan,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
Nanta menjawab pertanyaan bertulis Bernama sebagai susulan dua laporan khas berkaitan JRTB yang dikeluarkan Bernama pada bulan lepas.
Menurut beliau, dalam tempoh 2023 hingga 9 Mei tahun ini, kementerian itu membelanjakan sejumlah RM5.49 bilion untuk penyenggaraan jalan persekutuan.
JRTB MASIH SELAMAT DIGUNAKAN
Dalam konteks JRTB, Nanta berkata lebuh raya itu ialah sebahagian daripada Jalan Persekutuan 4 (FT4) dengan panjang keseluruhannya 292.39 km, meliputi 61.78 km di Kedah, 114.66 km di Perak dan 115.95 km lagi di Kelantan, sekali gus meletakkan jajaran tersebut di bawah seliaan JKR.
“Laluan JRTB dikategorikan sebagai berbukit dengan reka bentuk jajaran disesuaikan mengikut kontur dan bentuk muka bumi sekitar Banjaran Titiwangsa. Secara fizikal, JRTB berkeadaan baik dan selamat digunakan,” jelasnya.
pic-3
Kini berusia 43 tahun sejak dibuka kepada umum pada 1 Julai 1982, menteri itu berkata berdasarkan rekod bancian terkini pada 2024, jajaran dua lorong dua hala tersebut masih berada di tahap perkhidmatan yang baik dengan konfigurasi jalan sedia ada dapat menampung jumlah trafik semasa.
“Jumlah trafik harian yang dicerap ialah sebanyak 2,409 buah termasuk 751 kenderaan berat atau 31.2 peratus,” kata beliau yang turut mengakui ada keperluan membina lorong memotong atau mendaki bagi menampung jumlah kenderaan berat tersebut.
Menurut Nanta, selain kerja-kerja penyenggaraan rutin, berkala dan bukan berkala, JKR menerusi syarikat konsesi yang dilantik, turut menjalankan pembaikan di FT4 berdasarkan keperluan seperti penampalan lubang jalan atau pothole yang harus dilakukan dalam tempoh 24 jam sebaik dikesan atau menerima laporan.
PELAN JANGKA PENDEK DAN JANGKA PANJANG
Mengambil kira kekangan peruntukan dan kapasiti kewangan sedia ada, Nanta berkata kementeriannya merangka pelan jangka pendek dan panjang bagi memastikan penyenggaraan serta penambahbaikan JRTB dapat dilaksanakan secara berperingkat, berimpak tinggi dan mampan.
Kata menteri itu, JRTB diberikan peruntukan khusus di bawah belanjawan negara untuk tujuan naik taraf dengan fokus utama termasuk pencahayaan, turapan jalan dan penambahbaikan sistem keselamatan, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
"Bagi pelan jangka pendek pada 2025, sebanyak RM55 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja pembaikan di laluan JRTB ini, malah telah mula dilaksanakan pada April dan dijangka siap pada awal November ini.
pic-4
"Daripada jumlah itu, sebanyak RM35 juta diluluskan bagi kerja-kerja penurapan semula jalan di lokasi-lokasi kritikal, manakala RM14.5 juta untuk kerja-kerja bukan pavemen seperti penggantian penghadang jalan, papan tanda amaran di selekoh berbahaya, pembinaan longkang, kerja-kerja pembentung dan mengecat ‘railing’ jambatan," katanya.
Beliau berkata sebanyak RM3.59 juta diperuntukkan kepada penambahbaikan sistem pencahayaan menerusi pemasangan lampu jalan solar di kawasan gelap atau berisiko tinggi seperti selekoh tajam dan kawasan berhampiran petempatan.
"Selain itu, RM1 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan ‘Pavement Condition Assessment’ (PCA) bagi keseluruhan laluan ini di (bahagian) negeri Perak.
"Data yang diperoleh daripada pelaksanaan PCA akan menjadi asas penting dalam menentukan tahap kerosakan sebenar, jenis rawatan turapan yang bersesuaian dan keutamaan kepada lokasi-lokasi yang memerlukan pembaikan," katanya.
TEKNOLOGI PINTAR TINGKAT KECEKAPAN
Sementara itu, Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Roslan Ismail dalam kenyataan sama, berkata jabatan tersebut mengenal pasti 16 lokasi di sepanjang JRTB yang sering berlaku kemalangan sejak 2018.
Untuk itu, katanya, JKR melaksanakan Rawatan Lokasi Kerap Berlaku Kemalangan “Blackspot” di bawah Program Menaik Taraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya yang dilakukan berdasarkan prinsip “Low Cost, High Impact”.
“Menerus prinsip ini, jika kaedah rawatan yang dilaksanakan tepat dengan jenis kemalangan yang berlaku, maka kadar kemalangan di lokasi berkenaan akan berkurangan dengan kos penambahbaikan yang rendah.
pic-5
"Berdasarkan analisis, antara diagnosis yang konsisten di kebanyakan lokasi ‘blackspot’ yang telah dirawat ialah papan tanda sedia ada uzur dan tidak mencukupi; tandaan jalan pudar; tahap pencahayaan dan delinasi yang kurang pada waktu malam; jarak penglihatan terhad akibat geometri jalan yang berselekoh; dan keadaan permukaan jalan yang rosak," katanya.
Bagi meningkatkan kecekapan pemantauan di FT4 khususnya jajaran Baling-Jeli, Roslan berkata JKR menerusi syarikat konsesi dilantik menggunakan teknologi pintar yang dibangunkan khas untuk menyokong penyenggaraan jalan persekutuan secara digital dan automatik.
Fungsi pintar utama dalam aplikasi termasuk pengesanan lubang jalan secara automatik menggunakan teknologi kamera dan kecerdasan buatan (AI) yang dipasang pada kenderaan rondaan seperti motosikal atau kenderaan pacuan empat roda.
"Sistem ini beroperasi dengan merakam imej permukaan jalan semasa rondaan harian dengan AI akan mengesan kehadiran ‘pothole’ berdasarkan corak, bentuk dan tekstur yang tidak sekata.
"Sebaik sahaja ‘pothole’ dikesan, lokasi kerosakan akan direkodkan secara automatik menggunakan Sistem Navigasi Satelit (GPS) dan maklumat ini dihantar terus ke aplikasi untuk pengesahan oleh peronda.
"Setelah disahkan, sistem akan menghantar arahan kerja secara automatik kepada subkontraktor ‘patching’ yang bertanggungjawab atas kawasan tersebut. Subkontraktor akan menerima maklumat lokasi yang lengkap melalui aplikasi, termasuk gambar dan koordinat kerosakan, seterusnya melaksanakan kerja pembaikan berdasarkan maklumat yang diterima," jelasnya.
Roslan berkata melalui kaedah itu, masa pengesanan dan penyampaian maklumat dikurangkan secara drastik berbanding dengan kaedah manual terdahulu, dan bukan sahaja mempercepat tindakan pembaikan tetapi juga meningkatkan ketepatan data, mengurangkan kebergantungan pada laporan bertulis dan memperkemas sistem pemantauan kerja.
"Teknologi yang digunakan mencerminkan pendekatan ‘digital first’ dalam pengurusan penyenggaraan jalan, sejajar dengan objektif kementerian dan JKR untuk memperluas penggunaan sistem pintar dan automasi dalam penyenggaraan infrastruktur awam," katanya.
JRTB TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Roslan berkata bagi pelan jangka panjang, pihaknya telah merangka permohonan semula mengikut keutamaan dalam Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia ke-13 untuk menaik taraf FT4 dengan mengutamakan kawasan lebih kritikal, iaitu sepanjang 114.66 km di Gerik, Perak dan 46.5 km di Jeli, Kelantan.
"Antara skop yang dicadangkan ialah membina lorong memotong atau mendaki di beberapa lokasi, memperbaharui garisan jalan dan menaik taraf pembentung.
"Terdapat juga cadangan pelan jangka panjang yang melibatkan pembinaan secara menyeluruh dan memerlukan kos yang tinggi seperti penjajaran semula di selekoh berbahaya sepanjang jajaran, termasuk naik taraf fasiliti keselamatan jalan sedia ada dan pembinaan struktur lintasan hidupan liar," katanya.
Sementara itu, Nanta menggalakkan orang ramai untuk terus menyokong inisiatif penyenggaraan jalan raya dengan memberi maklum balas yang membina demi menambah baik mutu perkhidmatan, kerana kemudahan jalan raya yang selamat dan berkualiti adalah tanggungjawab bersama, bermula dengan sikap prihatin serta kesedaran semua pengguna.
"Saranan utama saya ialah (pengguna) mematuhi had laju serta undang-undang jalan raya yang ditetapkan. Kenderaan berat pula dinasihatkan menggunakan laluan yang dibenarkan kerana penggunaan jalan biasa oleh kenderaan ini boleh mempercepat kerosakan struktur jalan.
"Selain itu, pengguna juga digalakkan untuk melaporkan sebarang kerosakan atau bahaya di jalan raya seperti lubang, tanah runtuh atau papan tanda rosak kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera dapat diambil," katanya.
Selain itu, beliau turut menyeru pengguna agar menjaga kebersihan jalan dengan tidak membuang sampah dari kenderaan yang berisiko menyebabkan longkang tersumbat dan seterusnya mengakibatkan air bertakung serta merosakkan jalan.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial